PEMAIN Sabah FC, Park Taesu (tengah) meraikan jaringan keempat pasukannya ketika menentang Penang FC dalam saingan Liga Super 2023 di Stadium Likas malam tadi. Mohd Adam Arinin
PEMAIN Sabah FC, Park Taesu (tengah) meraikan jaringan keempat pasukannya ketika menentang Penang FC dalam saingan Liga Super 2023 di Stadium Likas malam tadi. Mohd Adam Arinin
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Perubahan corak permainan yang menyaksikan pemain Sabah FC banyak bergerak pada separuh masa kedua menentang Penang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, di sini, malam tadi disifatkan sebagai faktor kemenangan besar 5-2 di laman sendiri.

Penolong ketua jurulatih Sabah FC, Rastislav Bozik, mengakui corak permainan yang lebih agresif dengan banyak peluang dan cubaan dicipta membolehkan persembahan pasukannya lebih bertenaga berbanding dalam babak pertama.

Jelasnya, walaupun anak buahnya mencipta gol yang baik melalui hantaran yang tepat dan penalti pada separuh masa pertama, permainan keseluruhan sepanjang babak awal permainan kurang memuaskannya.

"Pada separuh masa kedua, pemain lebih banyak bergerak berbanding pada separuh masa pertama sekali gus memberi banyak pilihan dan peluang.

"Sebab itulah permainan pada separuh masa kedua lebih baik. Apabila peluang dan kekuatan dapat diterjemahkan, maka itu mengubah permainan menjadi lebih baik," katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Dalam aksi malam tadi, skuad Sang Badak mencipta gol pendahuluan melalui tandukan Park Taesu pada minit ketiga sebelum disamakan penyerang Pulau Pinang, Hassan Saad pada minit kelapan, namun dipintas Sabah pada minit akhir babak pertama melalui gol sepakan penalti Darren Lok.

Berbekalkan kelebihan 2-1, Sabah FC memulakan babak kedua dengan lebih agresif hingga berjaya menambah dua gol menerusi Daniel Ting pada minit ke-54, disusuli satu lagi gol Park Taesu pada minit ke-59.

Kedudukan 4-1 yang memberi kelebihan buat Sabah itu kekal hingga minit ke-91, sebelum Pulau Pinang mencipta gol kedua melalui sepakan penalti Adriano Aparecido Narcizo.

Sabah kemudian berjaya menambah gol kelima melalui satu lagi sepakan penalti yang disempurnakan Rizal Ghazali pada minit ke-102 membolehkan Sabah mengutip tiga mata dengan kemenangan 5-2.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2023 @ 5:03 PM