DARREN Lok (dua kanan) sandaran Sabah FC. FOTO Mohd Adam Arinin
DARREN Lok (dua kanan) sandaran Sabah FC. FOTO Mohd Adam Arinin
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Barisan pemain Sabah FC mahu melupakan episod malang membabitkan keputusan pengadil dengan mencipta kemenangan pada pertemuan menentang Penang FC di Stadium Likas, esok.

Sambil menyifatkan kejadian semasa seri 1-1 dengan Sri Pahang sebagai luar kawalan, penyerang The Rhinos, Darren Lok tidak rela situasi sama terus berulang dan perlu menutup aksi dengan tiga mata sebelum saingan Liga Super berehat seketika.

"Kami patut dapatkan tiga mata (ketika menentang Sri Pahang) tetapi perkara yang berlaku adalah di luar kawalan. Untuk aksi selepas ini, sudah pasti Penang FC bukanlah lawan yang mudah ditewaskan dan kami perlu sentiasa bersedia.

"Tinggal satu lagi perlawanan sebelum rehat, jadi kami kena dapatkan tiga mata untuk memastikan Sabah FC berada dalam kelompok teratas Liga Super," katanya.

Perlawanan kelima kali ini menjadi aksi terakhir sebelum saingan berehat bagi memberi laluan kepada Harimau Malaya harungi dua persahabatan antarabangsa bertemu Turkmenistan dan Hong Kong pada 23 dan 28 Mac ini di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

Darren turut berada dalam senarai 27 pemain yang dipanggil Kim Pan-gon bersama empat lagi pemain The Rhinos iaitu Dominic Tan, Stuart Wilkin, Daniel Ting dan Damien Lim.

Sementara itu, pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee yang dilayangkan kad merah ketika pertemuan dengan Sri Pahang, Ahad lalu tidak mahu anak buahnya terus dipalit kontroversi babitkan pegawai perlawanan.

"Saya harap pemain boleh melupakan perlawanan sebelum ini dengan kembali mencipta kemenangan untuk pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 4:31 PM