MBAPPE ketuai aksi PSG berdepan Bayern Khamis ini. FOTO AFP
MBAPPE ketuai aksi PSG berdepan Bayern Khamis ini. FOTO AFP
AFP

Paris: Kylian Mbappe mengetuai skuad ke Munich dengan masih segar di atas pencapaian memecah rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Paris St Germain yang dicatatkan hujung minggu lalu.

Dia berhasrat untuk membantu gergasi Perancis itu melepasi halangan Bayern dan mara ke suku akhir Liga Juara-Juara.

PSG tumpas 0-1 pada aksi pertama perlawanan 16 akhir, tatkala kecederaan menghalang Mbappe dibariskan dalam kesebelasan utama dan masuk sebagai pemain gantian bulan lalu.

Bagaimanapun, bintang Perancis berusia 24 tahun itu masih lagi mampu memberi impak walaupun dalam tempoh singkat termasuk menjaringkan gol sebelum ia dikesan ofsaid sekali gus membuktikan bahawa dia mampu mengubah nasib kelabnya.

Sejak perlawanan berkenaan, pendahulu Ligue 1 berjaya bangkit daripada aksi hambar untuk mencatat tiga kemenangan domestik berturut-turut dengan meledak 11 gol.

Daripada jumlah berkenaan Mbappe meledak lima gol termasuk satu jaringan ketika menang 4-2 ke atas Nantes yang menyaksikan dia mengatasi Edinson Cavani dan menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman PSG, lima tahun setengah selepas berpindah dari Monaco pada 2017.

Dia yang menjadi pemain pertama meledak hatrik dalam perlawanan akhir Piala Dunia Disember lalu sejak Geoff Hurst melakukannya pada 1966, mengumpul 201 gol daripada 247 perlawanan dengan PSG.

"Setiap pemain bermain untuk meninggalkan kesan dan supaya namanya turut berada dalam sejarah bola sepak, agar ia tidak dapat dilupakan selepas ini. Saya fikir dengan rekod ini orang akan ingat saya di sini," kata Mbappe.

Mbappe meledak 30 gol dalam 30 perlawanan untuk kelabnya musim ini dan mempunyai peluang terbaik menjadi pemain terbaik di dunia sekarang, walaupun Lionel Messi baru -baru ini mengatasinya memenangi anugerah Pemain Lelaki Terbaik FIFA.

Jika tersingkir di pusingan kalah mati pertama Liga Juara-Juara ia adalah kali kelima buat mereka selepas tujuh musim sekali gus akan menjadi masalah untuk PSG dan pemilik mereka dari Qatar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 11:59 AM