AKSI Ronaldo melepasi kawalan pemain Al Taawoun.
AKSI Ronaldo melepasi kawalan pemain Al Taawoun.
Agensi

Riyadh: Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo dinobatkan Pemain Terbaik Liga Saudi untuk Februari semalam.

Pemain berusia 38 tahun itu yang menyertai Al Nassr lewat tahun lalu menerusi perpindahan percuma mempamerkan aksi hebat dengan meledak lapan gol dan mencipta dua bantuan jaringan dalam empat perlawanan.

Sumbangan Ronaldo membantu Al Nassr mengukuhkan cabaran mereka untuk menamatkan dominasi tiga tahun Al Hilal.

Al Nassr menduduki tangga teratas Liga Saudi dengan kelebihan dua mata manakala Al Ittihad kedua dengan 41 mata.

Juara bertahan Al Hilal ketinggalan 11 mata di belakang tetapi mereka beraksi kurang tiga perlawanan sekali gus berpeluang mencabar gelaran liga.

Pesta gol Ronaldo bermula ketika menentang Al Fateh pada 3 Februari apabila pemenang lima kali Liga Juara-Juara dan Ballon d'Or itu menyamakan kedudukan saat akhir ketika seri 2-2.

Dalam aksi seterusnya menentang Al Wehda, Ronaldo mempamerkan kebolehan sebenar apabila meledak empat gol dan lapan hari kemudiannya dia mencipta dua bantuan jaringan ketika menewaskan Al Taawoun 2-1.

Pada Sabtu lalu, Ronaldo mencipta hatrik kedua di Liga Saudi ketika menang 3-0 ke atas Damac.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 9:34 AM