PEMAIN PDRM FC gigih menjalani latihan kelmarin. FOTO PDRM FC
PEMAIN PDRM FC gigih menjalani latihan kelmarin. FOTO PDRM FC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata menjadi impian skuad pendatang baharu Liga Super, PDRM FC yang bakal bertandang ke Stadium Likas berdepan Sabah FC malam esok.

Sasaran itu disuarakan ketua jurulatihnya, Azzmi Ab Aziz yang melihat peningkatan aksi dipamerkan anak buahnya bakal menjadi 'senjata' terbaik untuk menghalang tuan rumah daripada mengutip mata penuh.

Jelas bekas pemain tengah skuad kebangsaan itu, persefahaman sesama pemain termasuk tonggak import bebas daripada sebarang kecederaan juga menguatkan lagi keyakinannya untuk berdepan dengan skuad The Rhinos itu.

"Alhamdulillah segala persiapan berjalan seperti dirancang dengan semua pemain berada pada tahap prestasi terbaik dan bersedia untuk mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

"Berdepan Sabah FC pada aksi pertama sudah pasti ianya perlawanan sukar bagi kami kerana kita tahu lawan pasukan yang lebih baik dalam semua aspek lebih-lebih lagi menamatkan saingan Liga Super di kelompok tiga terbaik musim lalu.

"Pemain kami pula baharu dua bulan bersama dengan 90 peratus muka baharu termasuk pemain import, bagaimanapun itu semua bukan alasan buat kami.

"Sebaliknya dengan persefahaman sesama pemain kian serasi selain semua pemain bebas kecederaan, kami menyasarkan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata sebagai permulaan terbaik.

"Harap pemain dapat menyerap tekanan serta menyesuaikan diri secepat mungkin suasana perlawanan dengan mempraktikkan segala perancangan dan strategi yang diatur," kata Azzmi yang baharu musim pertama bergelar jurulatih Liga Super.

Selain mengikat bekas pemain importnya, Bruno Suzuki dari Jepun, skuad Sang Saka Biru itu turut diperkuatkan James Okwuosa (Nigeria), Marcus Macauley (Liberia), Fadi Awad (Jordan), Kyaw Min Oo (Myanmar) dan penyerang kelahiran Nigeria, Uche Agba.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 3:25 PM