LUKAKU ledak gol tunggal perlawanan. -FOTO AP
LUKAKU ledak gol tunggal perlawanan. -FOTO AP
AFP

Milan: Romelu Lukaku meningkatkan peluang Inter Milan untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh lebih sedekad selepas menjaringkan gol tunggal dalam perlawanan untuk merakam kemenangan 1-0 ke atas Porto awal pagi tadi.

Penyerang Belgium, Lukaku menjaringkan gol ketika saingan berbaki empat minit pada perlawanan pertama di San Siro.

Skuad kendalian Simone Inzaghi akan bertandang ke Portugal bulan depan untuk menentukan siapa yang akan mara ke peringkat lapan terakhir dengan kelebihan jaringan Lukaku, gol keduanya dalam semua pertandingan.

Pemain berusia 29 tahun itu yang bergelut dengan kecederaan sepanjang musim, menjaringkan gol pertama liga sejak Ogos pada hujung minggu lalu, diturunkan dari bangku simpanan pada separuh masa kedua untuk memastikan kemenangan Inter sebagai bekalan menjelang perlawanan timbal balik Mac ini.

"Kemenangan adalah perkara yang paling penting. Saya fokus untuk cuba melakukan yang terbaik untuk Inter," kata Lukaku.

"Saya gembira dengan kemenangan ini, semoga kami dapat meneruskannya."

Lukaku memainkan peranannya ketika skuad kendalian Sergio Conceicao beraksi dengan 10 pemain selepas pemain tengah Porto Otavio yang membuat penampilan pertama sejak awal bulan ini dibuang minit ke-78 kerana melakukan kesalahan.

Juara Portugal itu sentiasa menjadi penghalang buat pasukan Itali sepanjang beberapa musim lalu tetapi kali ini terpaksa bangkit di laman sendiri bulan depan jika ingin menjadikan satu lagi kelab Serie A sebagai mangsa - selepas Juventus dan Roma.

"Ia beri kami sedikit kelebihan sebagai bekalan ketika berdepan pasukan yang baik yang sudah biasa bermain dalam saingan 16 terakhir dan suku akhir. Kemenangan ini satu yang hebat," kata Inzaghi.

"Ia satu keputusan yang patut kami peroleh selepas apa yang kami lakukan di atas padang, tetapi kami tahu ia belum selesai di sini dan perlawanan kedua akan menjadi sukar."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 8:15 AM