SAFAWI dalam hantaran di Instagram mengucapkan terima kasih atas doa peminat. FOTO Instagram
SAFAWI dalam hantaran di Instagram mengucapkan terima kasih atas doa peminat. FOTO Instagram
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemain sayap negara, Safawi Rasid kembali menggegarkan arena bola sepak Thailand apabila disahkan bebas daripada kecederaan dialaminya sebelum ini.

Safawi, 25, yang diusung keluar selepas dibentes agak 'keras' pada aksi Liga Thailand menentang Lamphun Warrior.

Bagaimanapun, Ratchaburi FC berjaya memulihkan kecederaan Safawi dalam tempoh singkat sekali gus menyaksikan ketua pasukan skuad Harimau Malaya itu diturunkan dalam aksi menentang Nongbua Pitchaya malam tadi.

Dalam aksi itu, Safawi yang berstatus pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT) dimasukkan sebagai pemain gantian dan berjaya membantu pasukannya meraih kemenangan 2-1.

"Terima kasih semua untuk doa kalian. Sekarang saya sudah kembali beraksi semula," kata Safawi selepas perlawanan itu yang mengakui gembira dapat kembali beraksi.

Untuk rekod, sejak sertai Ratchaburi FC bulan lalu, Safawi sudah beraksi dalam tiga perlawanan dan dia dilihat terus mendapat kepercayaan jurulatih bagi mengemudi jentera serangan pasukan.

Malah, pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu juga dilihat berjaya menawan hati penyokong skuad The Dragons itu dengan aksi bertenaganya sebelum ini.

Ketika ini, Ratchaburi FC berada di tangga keempat Liga Thailand dengan mengumpul 33 mata daripada 18 aksi setakat ini, di mana Buriram United gah memimpin carta di kedudukan pertama dengan 48 mata diikuti Bangkok United (37 mata) dan Chonburi FC (36 mata).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 2:38 PM