PEMAIN Penang FC, Hassan Ali Saad (tiga kanan) meraikan jaringan gol bersama pasukannya ketika menentang pasukan Selangor FC pada perlawanan akhir Piala  Harapan 2023 di Stadium Negeri Batu Kawan di sini. FOTO Danial Saad
PEMAIN Penang FC, Hassan Ali Saad (tiga kanan) meraikan jaringan gol bersama pasukannya ketika menentang pasukan Selangor FC pada perlawanan akhir Piala Harapan 2023 di Stadium Negeri Batu Kawan di sini. FOTO Danial Saad
Siti Aminah Mohd Yusof


Batu Kawan: Penang FC beraksi cemerlang di laman sendiri apabila muncul juara Piala Harapan 2023 selepas menewaskan Selangor FC 2-1 di Stadium Negeri Batu Kawan, malam ini.

Mukhairi Ajmal selaku kapten pasukan meledak gol pertama Gergasi Merah menerusi rembatan kencang menuju tepat ke arah gawang tuan rumah seawal minit ke-25.

Penyerang import yang juga bekas pemain kebangsaan Lubnan, Soony Saad atau nama lengkapnya Hassan Ali Saad muncul wira pasukan apabila menjaringkan gol pertama Penang FC pada minit 75.

Selangor yang membariskan beberapa pemain kebangsaan seperti Faisal Halim, R Ruventhiran dan pertahanan, Ahmad Khuzaimie cuba menyekat kebangkitan Penang tetapi dinafikan penjaga gol, Syafiq Afifi Suhaimi.

Bagaimanapun, Sonny sekali lagi membuatkan Gergasi Merah terkedu selepas tendangan sudutnya berjaya menghasilkan gol kedua Harimau Kumbang pada minit ke-88.

Lebih manis pemain sayap pertahanan kelahiran Amerika Syarikat berusia 30 tahun itu turut dinobatkan sebagai penjaring terbanyak selepas mencetak tiga gol sepanjang aksi perlawanan Piala Harapan 2023 bermula Khamis lalu.

Seramai 5,292 penonton hadir menyaksikan perlawanan yang julung-julung kali diadakan melibatkan pertembungan anak buah Manzoor Azwira dan Tan Cheng Ho dalam aksi final perlawanan pramusim itu.

Kejohanan Piala Harapan 2023 yang dianjurkan Penang FC dengan format kalah mati itu mengumpulkan empat pasukan termasuk Kedah Darul Aman FC dan pasukan Singapura, Geylang International FC.

Terdahulu, Sang Kenari meraih tempat ketiga selepas menundukkan Geylang 2-1, petang tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 11:34 PM