PEMAIN KL City FC bersorak selepas menjaringkan gol ketika Perlawanan Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2023 di antara pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dengan Perak FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur malam ini. FOTO Bernama
PEMAIN KL City FC bersorak selepas menjaringkan gol ketika Perlawanan Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2023 di antara pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dengan Perak FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur malam ini. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) nyata lebih gagah untuk muncul juara dalam aksi Piala Menteri Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras, di sini, malam tadi.

Skuad The City Boys itu tidak berdepan banyak masalah mengenepikan Perak FC dengan keputusan 3-0 sekali gus meraih trofi pertama musim ini.

Dalam aksi itu, KL City yang dibimbing Bojan Hodak menurunkan kesebelasan terbaik termasuk menyenaraikan ketua pasukannya, Paulo Josue, Romel Morales dan Herlison Caion di bahagian serangan.

Pelawat yang dilatih bekas jurulatih Akademi Bayern Munich di Jerman, Datuk Lim Teong Kim gagal memberi saingan biarpun dilihat menguasai aksi di 20 minit babak pertama.

Begitupun, KL City berjaya memecah kebuntuan di minit 33 menerusi sepakan penalti Caion yang memanfaatkan peluang itu selepas Ryan Lambert dijatuhkan dalam kotak penalti oleh pertahanan Perak.

Tuan rumah yang muncul naib juara Piala AFC pada musim lalu nyaris menambah gol kedua tiga minit kemudian namun sepakan gunting Morales sedikit tersasar.

Pelawat juga berpeluang menggegar gawang namun percubaan luar kotak penalti Christian Obiozor sekadar singgah di palang di hujung babak pertama.

Memasuki babak kedua, tuan rumah terus menambah dua gol lagi hasil jaringan Josue di minit 53 dan tandukan Giancarlo Gallifuoco di minit 74, untuk meraih kemenangan selesa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 11:05 PM