HAMIDIN (kanan) bersama Presiden Fifa, Gianni Infantino (tengah) serta Kamarul Ariffin pada Kongres Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), baru-baru ini. FOTO Agensi
HAMIDIN (kanan) bersama Presiden Fifa, Gianni Infantino (tengah) serta Kamarul Ariffin pada Kongres Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), baru-baru ini. FOTO Agensi
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemilihan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) bagi penggal 2023-2027 pada Kongres Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebenarnya mencipta sejarah tersendiri.

Ini kerana, pemilihan berkenaan menyaksikan Hamidin adalah anak Melayu pertama bukan daripada golongan 'bangsawan' terpilih sebagai Ahli Majlis Fifa.

Penolong pengurus skuad Harimau Malaya, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar berkata, skuad kebangsaan selepas ini kemungkinan besar mendapat laluan mudah untuk mengadakan perlawanan persahabatan bersama pasukan Eropah apabila nama Hamidin terpilih mengisi kerusi itu.

"Pemilihan Hamidin cukup penting kerana beliau selama ini bertungkus lumus dan berkorban demi mengangkat bola sepak negara di peringkat lebih tinggi.

"Pada masa sama, nama Malaysia lebih dikenali dan memudahkan skuad Harimau Malaya untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan berada di ranking lebih tinggi berdasarkan kepada pengaruh Hamidin," katanya.

Terdahulu, Hamidin terus cemerlang di persada dunia apabila dipilih sebagai Ahli Majlis Fifa bagi penggal 2023-2027 pada Kongres AFC.

Hamidin antara tujuh calon yang bertanding bagi mengisi lima kerusi wakil lelaki Asia dalam Majlis Fifa pada Kongres AFC ke-33 itu Pusat Konvensyen Gulf, Manama.

Beliau yang memperoleh 35 undian dicabar penyandang jawatan, Du Zhaocai dari China, Kohzo Tashima (Jepun) dan Mariano Areneta Jr (Filipina), selain Mong Gyu Chung (Korea Selatan), Sheikh Hamad Khalifa A A Al Thani (Qatar) dan Yasser H. Almisehal (Arab Saudi).

Selain Hamidin, turut terpilih adalah Sheikh Hamad Khalifa (40 undian) Tashima (39 undian), Yasser (35 undian) dan Areneta Jr (34 undian).

Mengikut rekod, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjadi wakil Malaysia pertama dalam Majlis Fifa susulan kemenangan baginda pada Kongres 2015, manakala Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah pernah berkhidmat sebagai Naib Presiden Fifa dari 1982 hingga 1990.

Sementara itu, Presiden AFC Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa mengekalkan jawatan tertinggi berkenaan tanpa bertanding bagi tempoh empat tahun lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 6:17 PM