INFANTINO akui kemenangan Hamidin adalah perkembangan yang penting buat arena sukan di Malaysia. FOTO AFP
INFANTINO akui kemenangan Hamidin adalah perkembangan yang penting buat arena sukan di Malaysia. FOTO AFP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kejayaan Datuk Hamidin Mohd Amin memenangi jawatan sebagai Ahli Majlis Fifa bagi penggal 2023 hingga 2027, diyakini mampu memantapkan lagi industri bola sepak di benua Asia.

Keyakinan itu diakui Presiden Fifa, Gianni Infantino dan ternyata pujian itu bukan hadir daripada sebarang individu tetapi oleh tokoh nombor satu badan bola sepak dunia itu.

Jelas Infantino, Hamidin sememangnya layak dan berharap dapat menjalankan amanah yang diberikan sebaik mungkin.

"Saya sangat gembira apabila Hamidin dapat menang pertandingan ini apabila dipilih menjadi Ahli Majlis Fifa yang baharu.

"Ini adalah perkembangan yang penting buat arena sukan di Malaysia. Saya sudah mengenali Hamidin untuk tempoh yang lama dan tidak sabar untuk bekerjasama rapat dengannya.

"Saya harap kita dapat salin membantu meningkatkan lagi industri bola sepak serantau khususnya di peringkat Asia," katanya.

Dalam Majlis Fifa yang berlangsung pada Kongres Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Manama, Bahrain kelmarin, Hamidin berjaya meraih 35 undi untuk mengisi lima kerusi wakil lelaki Asia daripada tujuh calon yang bertanding.

Selain Hamidin, turut terpilih adalah Sheikh Hamad Khalifa A A Al Thani dari Qatar (40 undian) Kohzo Tashima (39 undian dari Jepun), Yasser H Almisehal (35 undian dari Arab Saudi) dan Mariano Areneta Jr (34 undian dari Filipina).

Sementara itu, Hamidin mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh semua pihak dan berazam untuk meletakkan nama Malaysia di mata dunia.

"Syukur dapat menang kerusi Ahli Majlis Fifa bagi penggal 2023-2027. Ini adalah tanggungjawab buat saya untuk menaikkan mutu bola sepak Malaysia, Asia Tenggara dan Asia ke tahap yang lebih baik."

Terima kasih kepada semua perwakilan yang mengundi, Exco FAM, pihak kerajaan terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim," katanya.

Sebagai rekod, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pernah menjadi wakil Malaysia pertama dalam Ahli Majlis Fifa susulan kemenangan baginda pada Kongres AFC edisi 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 2:13 PM