MESSI mengucup trofi Piala Dunia selepas Argentina muncul juara kejohanan di Qatar pada 18 Disember lalu. FOTO Reuters
MESSI mengucup trofi Piala Dunia selepas Argentina muncul juara kejohanan di Qatar pada 18 Disember lalu. FOTO Reuters
AFP

Buenos Aires: Lionel Messi memenangi Piala Dunia kerana trofi emas berkilauan itu memilihnya untuk menjulangnya, kata bintang Argentina itu dalam satu wawancara radio, hari ini.

Pemain berusia 35 tahun itu menjadi inspirasi kepada negaranya memenangi Piala Dunia Qatar 2022, bulan lalu, dengan menjaringkan dua gol dan satu sepakan penalti ketika pasukan Amerika Selatan itu menyingkirkan juara bertahan, Perancis selepas seri 3-3 di final.

"Piala itu memanggil saya, ia berkata: datang dan pegang saya, sekarang anda boleh sentuh saya," kata Messi kepada stesen radio Argentina, Urbana Play.

"Saya nampak ia berkilauan di stadium yang cantik itu dan saya tidak teragak-agak untuk menciumnya," katanya sambil mengimbas suasana dalam Stadium Lusail di Doha yang menjadi gelanggang aksi final itu.

Messi akhirnya menjulang trofi Piala Dunia dalam penampilan kelima dan terakhirnya, selepas kecundang kepada Jerman di final edisi 2014.

Dia turut tewas tiga kali di final Copa America sebelum akhirnya menjulang trofi itu pada 2021.

"Selepas terlalu banyak kesakitan akibat tewas di final, Tuhan memberinya kepada saya," kata Messi mengenai Piala Dunia.

Dia muncul kapten pertama Argentina sejak Diego Maradona pada 1986 yang menjulang trofi Piala Dunia.

"Saya gembira sekiranya Maradona yang menyerahkan piala itu kepada saya, jadi sekurang-kurangnya dia dapat melihat Argentina muncul juara dunia."

Maradona meninggal dunia akibat serangan jantung, dua tahun lalu.

"Dari atas sana, dia memberikan saya kekuatan, begitu juga kepada ramai lagi orang yang mencintai saya."

Ramai menjangka Messi akan bersara sekurang-kurangnya di pentas antarabangsa selepas kejayaan di Qatar itu, tetapi dia mahu terus bermain bersama rakan sepasukan dan turun ke padang sebagai juara dunia.

Bagaimanapun, dia mengakui kariernya semakin hampir berakhir selepas menyaksikan dia menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sebanyak empat kali, 10 kali gelaran La Liga bersama Barcelona, satu trofi Ligue 1 bersama Paris Saint-Germain selain mencipta rekod memenangi Ballon d'Or sebanyak tujuh kali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 8:55 AM