RONALDO dikasari pemain Al-Ittihad, Hamdan Al Shamrani. FOTO EPA
RONALDO dikasari pemain Al-Ittihad, Hamdan Al Shamrani. FOTO EPA
Reuters

Riyadh: Cristiano Ronaldo gagal menyelamatkan Al Nassr apabila tersingkir daripada Piala Super Saudi selepas tewas 1-3 kepada Al Ittihad dalam aksi separuh akhir awal pagi tadi.

Pemain antarabangsa Portugal berusia 37 tahun itu yang juga pemenang lima kali Ballon D'Or memiliki beberapa peluang menjaringkan gol tetapi dihalang pertahanan Al Ittihad dalam perlawanan itu.

Sebelum ini dia turut gagal menjaringkan gol pada penampilan pertamanya ketika Al Nassr menewaskan Ettifaq 1-0, Isnin lalu.

Jaringan Anderson Talisca minit ke-67 tidak mencukupi untuk Al Nassr bangkit selepas Al Ittihad mendahului dua gol pada babak pertama menerusi Romarinho dan Abderrazak Hamdallah.

Muhannad Al-Shanqeeti melengkapkan kemenangan pasukannya pada masa kecederaan.

Kekalahan itu bermakna Ronaldo tidak dapat bersaing untuk mendapatkan trofi pertamanya pada final Piala Super Ahad ini.

Namun dengan Al-Nassr selaku pendahulu Liga Pro dengan berkelebihan satu perlawanan, harapan masih ada untuk bekas bintang Manchester United itu menjulang sekurang-kurangnya satu piala.

Al Nassr berkunjung ke Al Fateh dalam saingan liga pada 3 Februari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 9:15 AM