RESTU ibu dorong Nik Sharif pilih TFC. FOTO MALIK MUHAMAD
RESTU ibu dorong Nik Sharif pilih TFC. FOTO MALIK MUHAMAD
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Mahu keredaan ibu adalah faktor utama pemain meningkat naik, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim memilih skuad Terengganu FC (TFC) musim ini.

Pemain kelahiran Kuantan berusia 26 tahun itu menjelaskan ibunya, Raja Sharifah Raja Ali, 57, adalah tonggak kekuatan dalam kariernya yang banyak memberikan kata-kata semangat selain bapanya turut menyokong.

"Faktor utama saya memilih TFC adalah mahu keredaan ibu, selain sokongan bapa, insan tersayang itu meminta saya menyertai skuad Penyu musim ini walaupun kelab negeri kelahiran, Sri Pahang FC turut menawarkan kontrak selain pasukan Selangor FC.

"Saya menghormati permintaan ibu kerana tidak mahu menjadi anak yang tidak mendengar kata, lagipun saya juga impikan untuk terus menyarung jersi skuad ini (TFC) selepas banyak memberikan peluang saya bermain dalam kesebelasan utama musim lalu sekali gus meningkatkan lagi prestasi biarpun berstatus pemain pinjaman bermula pertengahan musim lalu.

"Harapan saya mampu memberi impak yang positif buat pasukan walaupun berlainan jurulatih lebih-lebih musim ini TFC bakal bersaing dalam kancah Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) selain Liga Malaysia (Liga M)," katanya ketika ditemui di Padang C, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak.

Pemain yang boleh beraksi di posisi sayap kanan dan kiri serta tengah itu menandatangani kontrak selama dua tahun bersama TFC selepas cemerlang membantu pasukan itu muncul naib juara Liga Super dan Piala FA musim lalu.

Ketika ditanya mengenai corak latihan yang dikendalikan jurulatih baharu, Tomislav Steinbruckner atau lebih mesra dipanggil 'Tommy', pemain berketinggian 1.68 meter itu akui hampir kurang sama dengan corak latihan bekas pengendali sebelum ini, Nafuzi Zain yang kini berkelana bersama pasukan Kedah Darul Aman (KDA FC).

"Saya tidak hadapi masalah berlatih bawah Tommy, malah gembira dapat ilmu daripada jurulatih 'Mat Saleh' itu, lagipun tiada perbezaan ketara dengan corak latihan Nafuzi, cuma Tommy lebih kepada larian bersama bola selain menekankan aspek kecergasan.

"Justeru saya akan cuba yang terbaik untuk 'memenangi' hati Tommy dengan bersaing secara sihat walaupun sedar ianya bukan tugas mudah lebih-lebih lagi posisi sayap juga menjadi rebutan pemain lain termasuk Faiz Nasir dan Syafik Ismail," katanya yang impikan untuk menyarung jersi skuad kebangsaan.

Terdahulu pihak pengurusan Selangor FC bertindak profesional apabila memberi peluang kepada Nik Sharif yang masih mempunyai baki kontrak setahun sama ada kekal bersama skuad itu ataupun memilih haluan berbeza musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2023 @ 5:07 PM