MOHD Daud Bakar. FOTO Luqman Hakim Zubir
MOHD Daud Bakar. FOTO Luqman Hakim Zubir
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tampaknya bakal mengikut jejak tiga kelab yang memiliki fasiliti lengkap dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula musim ini.

Perkembangan positif itu didedahkan pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar yang mengakui pihaknya akan menjadikan Suka Menanti sebagai hub sukan untuk skuad Hijau Kuning itu.

Jelas Daud, beliau amat teruja selepas melihat kemudahan serba moden yang terdapat di Johor Darul Ta'zim (JDT) dan ia akan dijadikan 'benchmark' oleh pihaknya.

"Mulai musim ini, KDA FC akan mempunyai sebuah hub sukan di Suka Menanti dengan bajet sederhana.

"Hub ini akan ada pejabat kejurulatihan, gim, fisio dan tempat lepak-lepak para pemain. Satu permulaan yang 'humble'.

"Setiap suatu yang besar dan signifikan semuanya bermula dengan satu langkah kecil. Adik beradik Wright mula dengan minda fizik penerbangan yang 'humble' tetapi menjadi pencetus industri penerbangan," katanya di laman sosial miliknya.

Selain JDT, dua lagi pasukan tempatan yang sudah mempunyai pusat latihan sendiri adalah Selangor FC dan Terengganu FC.

Ujar Daud lagi, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa padang latihan yang akan dijadikan lokasi tetap pasukan.

"Berkenaan padang untuk latihan, mulai awal tahun 2023, KDA FC dalam proses untuk mendapat sewaan jangka panjang menjadi hak kegunaan secara ekslusif.

"InsyaAllah, KDA FC akan terus meninjau potensi pemilikan atau paling kurang penyewaan padang latihan untuk kesemua pasukan Sang Kenari. Saya secara peribadi telah ronda-ronda beberapa lokasi di Alor Star baru-baru ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 4:50 PM