REAKSI penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga selepas gawangnya ditembusi Mahrez.
REAKSI penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga selepas gawangnya ditembusi Mahrez.
AFP

London: Juara bertahan Manchester City menewaskan Chelsea 1-0 di Stamford Bridge awal pagi tadi untuk mengurangkan jurang dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) Arsenal kepada lima mata.

Skuad Pep Guardiola kurang menyerlah pada babak pertama tetapi lebih garang selepas rehat dengan gandingan pemain gantian Jack Grealish dan Riyad Mahrez menghasilkan gol tunggal yang dijaringkan pemain Algeria itu menerusi tolakan jarak dekat minit ke-63.

Skuad Graham Potter menduduki tangga ke-10 liga tetapi mereka mendominasi perlawanan sepanjang 45 minit pertama.

Bagaimanapun, mereka gagal mengekalkan momentum di babak kedua yang menyaksikan pelawat lebih berbahaya dengan kerap mengancam kubu tuan rumah.

Guardiola mengakui mereka jauh lebih baik dalam setiap bahagian selepas rehat.

"Kami bergelut pada babak pertama. Kami leka, perlahan dan tanpa tempo," kata pengurus City itu kepada Sky Sports. "Tetapi di babak kedua ia jauh lebih baik sejak minit pertama.

"Tiga mata ini sangat penting dan pemain saya tahu. Kami akan terus berusaha. Selepas ini Piala FA, Piala Liga dan kemudiannya Old Trafford."

Chelsea yang beraksi tanpa beberapa tonggak termasuk Mason Mount dan Reece James, kehilangan Raheem Sterling pada awal babak pertama selepas mengalami kecederaan hamstring dan digantikan Pierre-Emerick Aubameyang.

Mereka kini hanya meraih satu kemenangan dalam lapan aksi terakhir liga dan kekal sepuluh mata di belakang kelompok empat teratas.

The Blues sekali lagi berdepan City dalam aksi pusingan ketiga Piala FA di Etihad pada awal pagi Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2023 @ 7:33 AM