AMIRBEK (tengah) Khamal dan sebahagian penyokong Kedah. FOTO IZZALI ISMAIL
AMIRBEK (tengah) Khamal dan sebahagian penyokong Kedah. FOTO IZZALI ISMAIL
Izzali Ismail


Alor Setar: Kemuculan pemain import Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dari Tajikistan, Amirbek Juraboev disambut meriah oleh pihak pengurusan dan penyokong Sang Kenari di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Kepala Batas hari ini.

Kemunculan pemain import pertama Sang Kenari itu diiringi laungan selamat datang sebaik melangkah keluar dari ruang ketibaan di lapangan terbang pada jam 2.30 petang.

Seterusnya dia diraikan hampir 50 penyokong yang menanti dan ingin melihat kelibat bintang dari Tajikistan itu dari dekat selepas berita ketibaannya diumum melalui media rasmi pasukan sejak pagi tadi.

Turut sama meraikan Amirbek ialah Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali yang hadir bersama staf pengurusan Sang Kenari.

Menurut Amirbek, dia melahirkan rasa teruja dan berterima kasih dengan sambutan yang diterima daripada kalangan penyokong dan disifatkannya satu penghormatan buat dirinya.

"Saya gembira dan teruja dapat bersama pasukan Kedah yang saya anggap satu keluarga besar dalam membawa cabaran pada musim depan.

"Saya tahu sambutan bola sepak begitu popular di sini dengan Kedah memiliki penyokong yang besar dalam Liga Malaysia.

"Saya akan beraksi di posisi tengah dan saya mahu membuktikan saya dapat menyumbang aksi yang terbaik untuk mencapai kejayaan buat pasukan," katanya.

Selain itu, pemain yang pernah beraksi untuk kelab United City FC dalam Liga Filipina pada musim 2020 ini juga turut beraksi untuk skuad kebangsaan Tajikistan semasa skuad berkenaan menyertai Piala King Cup 2022 di Thailand yang menyaksikan Tajikistan muncul juara kejohanan pada September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2022 @ 5:53 PM