MARTINEZ bersama trofi sarung tangan emas yang diraihnya. -FOTO AFP
MARTINEZ bersama trofi sarung tangan emas yang diraihnya. -FOTO AFP
AFP

London: Pengurus Aston Villa, Unai Emery akan bercakap dengan Emiliano Martinez mengenai sambutan kontroversi penjaga gol Argentina itu di Piala Dunia selepas dia kembali bertugas bersama kelab Liga Perdana itu.

Martinez menyelamatkan dua situasi genting apabila menafikan percubaan Randal Kolo Muani pada waktu tambahan dan kemudiannya menyelamatkan sepakan penalti Kingsley Coman di Qatar yang menyaksikan Argentina menewaskan Perancis pada perlawanan akhir yang penuh mendebarkan.

Tapi dia dilihat membuat isyarat kurang sopan selepas memenangi trofi sarung tangan emas untuk penjaga gol terbaik kejohanan itu.

Kemudian, semasa perarakan kemenangan Argentina di Buenos Aires, dia dilihat memegang anak patung dengan muka bintang Perancis, Kylian Mbappe.

Pada aksi final itu, Mbappe meledakkan hatrik yang menyaksikan Perancis bangkit daripada ketinggalan untuk membawa perlawanan ke penentuan sepakan penalti dan kemudiannya menewaskan Martinez dengan sepakan penalti pembukaan.

"Apabila anda ada emosi yang besar, kadangkala ia sukar dikawal," kata Emery semalam.

"Saya akan bercakap dengannya minggu depan mengenai sebahagian daripada sambutan itu. Kami sangat bangga dengannya. Dia menang Piala Dunia bersama pasukan kebangsaan dan ia menakjubkan.

"Dia akan kembali minggu depan. Saya mahu dia berehat ketika ini selepas emosi yang besar dan kerja keras, dia perlu berehat beberapa hari dan kemudian datang bekerja dengan kami."

Menteri Sukan Perancis, Amelie Oudea-Castera, awal pagi semalam berkata dia kecewa dengan perlakuan Martinez.

"Saya dapati ia menyedihkan," katanya. "Ia kata-kata kesat, tidak sepatutnya, memang tidak sepatutnya berlaku. Emiliano Martinez tidak dapat membezakan dirinya. Ia menyedihkan."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2022 @ 9:08 AM