AIMAR (kiri) berjaya membuat lapan penampilan dan menjaringkan dua gol bersama JDT. FOTO Agensi
AIMAR (kiri) berjaya membuat lapan penampilan dan menjaringkan dua gol bersama JDT. FOTO Agensi
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Di sebalik kejayaan Argentina ditabalkan sebagai juara Piala Dunia rupa-rupanya terdapat seorang bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) yang bertindak sebagai pembantu kepada ketua jurulatih, Lionel Scaloni.

Individu yang dimaksudkan itu ialah Pablo Aimar yang pernah menyarung jersi Harimau Selatan pada musim 2014 ketika berusia beliau 34 tahun.

Untuk rekod, Aimar hanya berjaya membuat lapan penampilan dan menjaringkan dua gol bersama JDT ekoran kecederaan yang dialaminya.

Selepas meninggalkan Harimau Selatan, bekas pemain Benfica itu menyertai River Plate sebelum dilantik mengemudi pasukan bawah 17 tahun (B-17) Argentina pada tahun 2017.

Di bawah bimbingan Aimar, beliau berjaya membawa pasukannya muncul sebagai juara Piala Amerika Selatan B-17 sekali gus dinaikkan pangkat menjadi pembantu kepada Scaloni pada tahun 2018.

Selain Aimar, Scaloni turut dibantu oleh dua bekas pemain iaitu Roberto Ayala dan Walter Samuel yang mana kesemua mereka ini berjaya membawa Argentina muncul sebagai juara Copa Amerika pada tahun 2021.

Bersama pasukan senior Argentina, Aimar diberi tugas penting untuk membantu Scaloni merancang taktikal selain memainkan peranan yang besar dalam menyenaraikan beberapa pemain berpotensi dalam pasukan tersebut.

Percaturan Aimar bersama Scaloni berjaya membuahkan hasil apabila mereka menewaskan Perancis di final Piala Dunia semalam sekali gus mencipta sejarah baharu dalam bola sepak negara itu.

Kemenangan tersebut mengakhiri kemarau Piala Dunia selama 36 tahun bagi Argentina selepas kali terakhir menjulangnya pada tahun 1986.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 8:54 PM