Pemain Perancis dari kiri, Jordan Veretout, Kylian Mbappe, Marcus Thuram, Ousmane Dembele, Jules Kounde, dan Eduardo Camavinga ketika sesi latihan. FOTO AP
Pemain Perancis dari kiri, Jordan Veretout, Kylian Mbappe, Marcus Thuram, Ousmane Dembele, Jules Kounde, dan Eduardo Camavinga ketika sesi latihan. FOTO AP
AFP

Doha: Juara bertahan, Perancis menegaskan beraksi di hadapan suasana yang dijangka berpihak peminat lawan pada final Piala Dunia berdepan Argentina tidak akan menjejaskan aksi mereka ketika memburu gelaran pasukan pertama dalam tempoh 60 tahun mengekalkan trofi kejohanan.

Argentina mungkin mendapat sokongan sebahagian besar peminat ketika Lionel Messi melakukan bidaan untuk memenangi Piala Dunia pertamanya dalam aksi kemungkinan yang terakhir dalam kejohanan itu pada usia 35 tahun.

Tambahan pula Argentina juga mempunyai ramai penyokong di Stadium Lusail, dengan 40,000 berada di Doha untuk kejohanan itu, sementara penyokong Perancis dianggarkan sekitar 6,000.

"Saya sedar bahawa Argentina akan mempunyai penyokong yang ramai di belakang mereka," kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps, yang berharap menjadi jurulatih pertama memenangi Piala Dunia berturut-turut sejak pengendali Itali, Vittorio Pozzo pada 1930.

"Saya jangka suasana perayaan bersama rakyat Argentina yang begitu bersemangat dan akan berada di belakang pasukan mereka.

"Mereka banyak menyanyi dan sangat ekspresif. Ia sangat bagus, tambah lagi ia adalah final Piala Dunia tetapi lawan kami bukan di bangku tempat duduk."

Perancis boleh menjadi pasukan pertama sejak Brazil pada 1962 untuk mengekalkan gelaran Piala Dunia.

Kedua-dua pasukan mengintai peluang untuk menang trofi untuk kali ketiga dengan Argentina kali terakhir menjulangnya pada 1986.

"Ia adalah objektif sama bagi kedua-dua pasukan. Salah satu daripada dua pasukan akan memiliki tiga bintang di jersi mereka selepas perlawanan esok," kata Deschamps.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 8:47 PM