Aksi penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez dalam perlawanan berdepan Belanda. FOTO AP
Aksi penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez dalam perlawanan berdepan Belanda. FOTO AP
Agensi

Doha: Emiliano Martinez menggesa kapten Argentina, Lionel Messi untuk mengetuai mereka pada Piala Dunia 2026 di Amerika Utara - sekalipun bintang penyerang itu mengesahkan aksi final Ahad ini adalah yang terakhir buatnya pada kejohanan itu.

Messi, 35, menjadi tonggak penting dalam membantu Argentina mara ke final Piala Dunia 2022 di Qatar, di mana mereka akan berdepan Perancis.

Penyerang PSG meledak lima gol setakat ini dalam kejohanan itu, termasuk penalti ketika kemenangan 3-0 ke atas Croatia pada separuh akhir.

Messi baru-baru ini mendedahkan aksi final nanti mungkin penampilan terakhirnya di Piala Dunia dan berhasrat meninggalkannya dengan beroleh kejayaan dalam kejohanan sekali gus menambah koleksi trofi peribadinya.

Martinez yang juga penjaga gol Argentina bagaimanapun, mempunyai perancangan berbeza dan percaya kapten itu mampu memimpin mereka sekali lagi pada Piala Dunia akan datang dalam tempoh empat tahun lagi.

"Pada saya dia boleh beraksi hingga 50 tahun. Dia kelihatan begitu tepat dan dia dapat beraksi dengan sangat baik," kata Martinez kepada FootballersLives.tv.

"Dia membuatkan perkara nampak mudah - ia perkara paling sukar yang perlu dilakukan. Untuk memahami bagaimana bagus dia mengawal bola adalah sesuatu yang di luar jangkaan.

"Dia meletakkan bola di sana dan melihat pada anda dan menanduk bola di penjuru paling atas, jika dia tersasar ia akan terkenal tiang gol atau palang.

"Itu adalah kaki kiri. Dia kecil, tetapi kuat." katanya.

Penjaga gol Aston Villa itu mendedahkan penyerang itu turut mendorong dirinya beraksi dengan lebih baik.

"Beraksi disampingnya menjadikan saya seorang pemain bola sepak yang lebih baik. Adalah lebih baik untuk Messi memenangi Copa America. Dia tewas dalam dua final Piala Dunia dan dua atau tiga final Copa America.

"Apabila dia meminta untuk swafoto ia adalah detik yang cukup dibanggakan untuk saya dan saya mengabdikan ia dalam bingkai gambar di rumah.

"Dia mewakili negara kami sebagai wira. Orang ramai menghormati Messi lebih daripada Presiden.

"Orang ramai akan berada di rumah 24 jam jika Messi meminta mereka. Dia adalah nombor satu, seorang yang berusaha gigih dan memberi inspirasi kepada semua orang.

"Dia sangat baik hati, tidak sombong dan ini sangat bagus." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 3:01 AM