PENYOKONG Argentina meraikan kelayakan ke separuh akhir dengan wajah Messi dan Maradona dipapar dram peminat. -FOTO Reurtes
PENYOKONG Argentina meraikan kelayakan ke separuh akhir dengan wajah Messi dan Maradona dipapar dram peminat. -FOTO Reurtes
Reuters

Lusail, Qatar: Lionel Messi berkata Argentina merasai kehadiran mendiang Diego Maradona sepanjang kempen Piala Dunia mereka termasuk pada perlawanan penting menentang Belanda menerusi penentuan penalti sebelum mara ke separuh akhir.

Messi dilihat mencetus inspirasi kepada Argentina ketika mereka berusaha menempah tempat ke kelompok empat terakhir selepas membantu gol pembukaan Nahuel Molina sebelum rehat dan menambah gol kedua dari sepakan penalti.

Argentina mendahului dua gol sehingga waktu kecederaan sebelum penjaga gol Emi Martinez kekal tenang menyelamatkan dua sepakan penalti Belanda dan Lautaro Martinez menjaringkan penalti kemenangan yang menghantar mereka ke separuh akhir.

"Diego sedang memerhati kami dari syurga. Dia mendorong kami dan saya sangat berharap ini kekal sehingga akhir," kata Messi.

"Apabila Lautaro menjaringkan gol dan kami layak. Satu kegembiraan besar. Satu beban di dada," kata Messi.

"Ia satu perlawanan yang sangat sukar. Dari awal ia adalah perlawanan yang sangat sukar, kami tahu ia akan menjadi seperti ini.

"Mereka mengikat kedudukan dan kami kecewa. Tetapi kami dapat mengesahkan tempat ke separuh akhir seperti yang kami inginkan."

Pengendali Argentina, Lionel Scaloni menjelaskan pasukannya tidak berdepan masalah untuk memilih pemain yang bersedia mengambil sepakan penalti sekalipun babak kedua mereka berlangsung dengan buruk.

"Kadang kala, kita berdepan kesukaran dalam situasi seperti itu kerana pemain akan malu. Tetapi kali ini, ada ramai pemain yang bersedia, jadi kami hanya memutuskan mengenai turutan untuk mengambil sepakan penalti.

"Memang benar yang kami sepatutnya tidak diheret ke penentuan sepakan penalti tetapi kami tetap berjuang sehingga tamat permainan.

"Babak kedua amat pelik kerana semuanya dalam kawalan kami cuma anda juga tahu apa yang boleh berlaku dalam bola sepak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2022 @ 11:28 AM