Jurulatih Maghribi, Walid Regragui (kanan) memperkatakan sesuatu kepada Youssef En-Nesyri pada sesi latihan. FOTO AFP
Jurulatih Maghribi, Walid Regragui (kanan) memperkatakan sesuatu kepada Youssef En-Nesyri pada sesi latihan. FOTO AFP
Reuters

Al Rayyan, Qatar: Maghribi mahu mencipta sejarah Piala Dunia apabila berdepan Portugal di suku akhir esok, menyatakan mereka belum berpuas hati sekalipun memecah rekod bola sepak Arab dan menyamai pencapaian terbaik oleh pasukan Afrika.

Jurulatih skuad Afrika Utara itu, Walid Regragui berkata mereka harus memulakan perlawanan sebagai 'underdogs' menentang Portugal tetapi membuktikan mereka pencabar sebenar di Qatar dan dahagakan lebih banyak kejayaan.

Jika menang di Stadium Al Thumama Stadium, Maghribi akan menjadi pasukan Afrika pertama mara kelompok empat terbaik sementara mereka sudahpun menjadi negara Arab pertama mara ke kelompok lapan terbaik.

"Kami sudahpun melakar beberapa pencapaian yang hebat tetapi kami berasakan ia belum mencukupi, kami mahu pergi lebih jauh.

"Kami sudah membuktikan semua data analisis adalah salah mengenai peluang Belgium dan juga Sepanyol. Mereka semua menyangkakan kami tewas kepada mereka." kata Regragui pada sidang media hari ini.

Maghribi menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan ke atas selepas seri berdepan Croatia dan menewaskan Belgium dan Kanada, sebelum mengatasi Sepanyol menerusi penalti dalam kelompok 16 terbaik.

Tetapi ia memerlukan pengorbanan apabila tonggak pertahanan Nayef Aguerd diragui dapat beraksi pada perlawanan esok selepas mengalami kecederaan hamstring.

Pemain utama lain, seperti kapten Romain Saiss dan pemain tengah Sofyan Amrabat turut mengalami kecederaan.

"Kami tidak akan menyembunyikan apa-apa, kami benar-benar penat.

"Tapi apabila anda pergi sejauh ini dalam kejohanan anda harus bergantung kepada semua pemain dalam pasukan.

"Jadi jika Nayef tidak dapat bermain jadi pemain lain akan mengambil alih tempatnya. Kami tidak akan memberi alasan, kami di sini dengan sasaran." kata jurulatih yang hanya memegang jawatan itu tiga bulan sebelum Piala Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 11:45 PM