Azahari Salim (dua kanan) dipakaikan baju sukan Piala Dunia 2022 oleh Penolong Pengarah,Unit Pembangunan Bakat Murid (MSST), Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Hamdan Awang di SMK Seri Nilam, semalam. FOTO ihsan Hamdan Awang
Azahari Salim (dua kanan) dipakaikan baju sukan Piala Dunia 2022 oleh Penolong Pengarah,Unit Pembangunan Bakat Murid (MSST), Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Hamdan Awang di SMK Seri Nilam, semalam. FOTO ihsan Hamdan Awang
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Walaupun tidak lagi bergelar sebagai guru, Azahari Salim atau lebih mesra dipanggil 'Coach Mamba' tekad mahu terus melahirkan lebih ramai pemain bola sepak profesional khususnya di negeri ini.

Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan pada Kejohanan Bolasepak Sekolah Asean berusia 59 tahun itu berkata, sukan nombor satu itu sudah sebati dalam dirinya dan akan terus bergelumang selagi ada kudrat.

Semalam bekas ketua jurulatih pasukan kelab, T-Team musim 2014 diraikan dalam majlis perpisahan sebagai penjawat awam di sekolah terakhirnya iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nilam, dekat sini.

Beliau yang pernah menjawat jawatan penolong jurulatih kelab T-Team bawah ketua jurulatih baharu Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner pada 2015 juga menjelaskan beliau sedia berkhidmat dengan mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) selepas bersara sepenuhnya sebagai guru.

"Selagi ada kudrat, saya akan terus berusaha melahirkan lebih ramai pemain muda berbakat khususnya dalam kalangan pelajar biarpun akan bersara sepenuhnya sebagai penjawat awam pada 12 Januari 2023.

"Lagipun saya lihat ramai pemain muda berbakat khususnya di negeri ini yang boleh digilap sehingga ke peringkat yang lebih tinggi sebagaimana sebelum ini.

"Selain itu selepas bersara sepenuhnya sebagai guru, saya juga sedia berkhimat dengan mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) yang mahukan khidmat saya sebagai jurulatih," katanya ketika dihubungi.

Selain antara watak penting mencungkil bakat muda seperti pemain kebangsaan, Safawi Rasid, Abdul Manaf Mamat, Muslim Ahmad, Hafizal Mohamad dan penjaga gol Sharbinee Allawee Ramli ke peringkat antarabangsa, anak jati Kampung Losong, Kuala Terengganu itu adalah pemain kelab Liga Divisyen Terengganu, FC Fajar Hiliran selain Piala Emas Terengganu.

Selepas bergelar pemain, beliau memulakan kariernya sebagai jurulatih Piala MILO Terengganu Bawah 14 (B14) dan 16 Tahun, jurulatih Piala Coca-Cola, Piala Nike dan penolong jurulatih Malaysia B14 dan B16.

Beliau juga pernah membimbing pasukan Piala Presiden T-Team dan penolong jurulatih pasukan utama T-Team pada 2016 dan 2017 bersama jurulatih kelahiran Indonesia, Rahmad Darmawan dan terakhir ketua jurulatih kelab Kuala Terengganu Rovers pada 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 9:43 PM