Memphis Depay (kiri) bersama rakan sepasukannya menjalani latihan. FOTO EPA
Memphis Depay (kiri) bersama rakan sepasukannya menjalani latihan. FOTO EPA
AFP

Doha: Belanda akan memburu peluang mengubah memori kekalahan separuh akhir mereka menerusi penalti pada 2014 apabila berdepan Argentina sekali lagi di Piala Dunia, kata penyerang Memphis Depay.

Salah satu saingan paling hebat dalam kejohanan akan memasuki babak lain pada pertembungan suku akhir di Stadium Lusail, lapan tahun lalu selepas skuad kendalian Louis van Gaal terlepas peluang untuk mara ke final di Brazil.

Depay pemain simpanan yang tidak digunakan ketika hari kejadian itu tetapi dijangka melakukan penampilan dalam kesebelasan utama kali ini.

"Pada 2014 saya berada di sana dan ia berakhir dengan sangat berbeza (cara yang kami mahukan) tetapi saya berhasrat mengubahnya kali ini." kata penyerang Barcelona itu pada sidang media.

Tempat bagi separuh akhir membabitkan pertembungan antara Brazil atau Croatia berpeluang disambar dan Van Gaal, kembali mengambil alih tugas buat kali ketiga, tahu pasukan perlu ke hadapan.

"Kejohanan sebenarnya bermula esok buat kami, sekalipun sudah tentu saya tidak mahu merendahkan kepentingan negara lain yang kami boleh atasi," katanya.

"Tetapi Argentina dan Brazil, yang kami mungkin hadapi pada pusingan seterusnya, agak berbeza bagi pasukan yang kami atasi dalam peringkat kumpulan dan 16 terbaik."

Kali terakhir dua pasukan itu bertemu di suku akhir Piala Dunia 1998, Belanda memenanginya menerusi jaringan menarik Dennis Bergkamp.

"Ia adalah detik menakjubkan buat negara kami dan jaringan yang hebat.

"Perlawanan ini akan ditentukan mengikut detik-detik dalam permainan. Jadi jika kami percaya kami boleh menangkap detik itu, kami boleh melaluinya," kata Depay.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 12:47 AM