Lionel Scaloni (dua kiri) ketika sesi latihan Argentina. FOTO AFP
Lionel Scaloni (dua kiri) ketika sesi latihan Argentina. FOTO AFP
AFP

Doha: Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni optimis Angel Di Maria dan Rodrigo De Paul akan dapat diturunkan pada aksi suku akhir Piala Dunia berdepan Belanda.

Di Maria terlepas aksi pusingan 16 terbaik menentang Australia berikutan masalah kecederaan dan terdapat kebimbangan mengenai tahap kecergasan De Paul yang beraksi dalam semua perlawanan di Qatar.

"Mereka dalam keadaan baik, kami akan menilai perkembangan mereka dalam latihan hari ini untuk menentukan barisan pemain," kata Scaloni yang kurang senang dengan laporan mendakwa De Paul sedang menjalani proses pemulihan kecederaan hamstring.

"Kebiasaannya selepas perlawanan ada pemain yang berlatih secara berasingan atau melakukan separuh sesi berdasarkan jumlah minit mereka bermain.

"Hari ini kami akan membuat keputusan mengenai pendekatan yang kami akan gunakan untuk perlawanan menentang Belanda. Itu adalah perkara yang paling penting."

Pertemuan Argentina dengan Belanda dianggap aksi ulangan separuh akhir Piala Dunia 2014 di Brazil yang menyaksikan gergasi Amerika Selatan itu menang menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat 120 minit permainan.

Kedua-dua pasukan sebelum ini sudah lima kali bertemu di Piala Dunia termasuk final edisi 1978 yang menyaksikan Argentina melakar kemenangan 3-1 selepas masa tambahan.

Argentina tidak pernah menewaskan Belanda dalam tempoh 90 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 12:37 AM