Jurulatih Brazil, Tite (empat dari kiri) memberi arahan kepada pemain ketika sesi latihan. FOTO Reuters
Jurulatih Brazil, Tite (empat dari kiri) memberi arahan kepada pemain ketika sesi latihan. FOTO Reuters
AFP

Doha: Jurulatih Brazil, Tite mempertahankan kritikan terhadap pemainnya yang meraikan jaringan dengan menari dalam kemenangan perlawanan Piala Dunia ke atas Korea Selatan, sekali gus menolak tindakan itu menunjukkan rasa tidak hormat.

Pasukan pilihan kejohanan itu mencatat kemenangan bergaya untuk meneruskan kemaraan apabila mengatasi Korea Selatan 4-1 pada Isnin dan meraikan jaringan mereka dengan pelbagai rentak gerakan dan tarian, malah Tite turut kelihatan menyertai pemain meraikan salah satu jaringan itu.

Tindakan itu menimbulkan pelbagai maklum balas pemerhati bola sepak.

Malah tarian oleh Neymar serta rakan sepasukannya menjadi tajuk perbualan utama menjelang aksi suku akhir berdepan Croatia di Doha esok.

"Ini bukan pasukan kebangsaan saya. Ia adalah pasukan kebangsaan Brazil di mana saya bertanggungjawab sebagai jurulatih.

"Saya simpati dengan orang yang tidak mengetahui sejarah dan budaya Brazil dan cara hidup kami," kata Tite ketika ditanya mengenai keraian itu pada sidang media.

Pengendali berusia 61 tahun itu, yang juga Piala Dunia kedua sebagai jurulatih Brazil dan bersedia untuk meletak jawatan pada penghujung kejohanan itu.

Tite membayangkan dirinya tidak selesa untuk menyertai tarian tetapi mengakui dia mahu mempunyai hubungan bersama pemainnya.

"Saya sudah berusia 61 dan semua pemain ini mungkin boleh dianggap sebagai cucu saya tetapi saya mahu mempunyai hubungan dengan mereka.

"Jika saya perlu menari saya akan menari, walaupun saya akan melakukannya secara halus dan saya akan meminta mereka melindungi saya. Ia bukan cara saya." katanya.

Tekanan ke atas generasi baru bintang Brazil amat besar kerana mereka berhasrat mencatat rekod dengan memenangi Piala Dunia buat kali keenam, dua dekad selepas skuad Selecao kali terakhir menjulang trofi itu di Jepun pada 2002.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 10:35 PM