PAN-gon bersama Darren Lok ketika sidang media hari ini. FOTO FAM
PAN-gon bersama Darren Lok ketika sidang media hari ini. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Skuad Harimau Malaya akan tampil berbeza pada aksi persahabatan antarabangsa kelas 'A' bertemu Kemboja di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok, dan ia amat mengujakan pengendali negara, Kim Pan-gon.

Katanya, keterujaan itu hadir berdasarkan kepada ramainya muka baharu dalam kem latihan skuad kebangsaan ketika ini yang bakal menyajikan persembahan berbeza daripada pasukan sebelum ini yang layak ke Piala Asia pada Jun lalu.

"Esok mungkin akan melihat ramai muka baharu akan beraksi dan tunjukkan sesuatu yang saya sendiri amat teruja untuk nantikan dan persembahkan kepada peminat bola sepak negara.

"Pemain kena yakin dan buktikan kepada peminat di luar nanti yang mereka memiliki sesuatu untuk dibuktikan di atas padang nanti," katanya pada sidang media praperlawanan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di sini, hari ini.

Perlawanan dengan Kemboja adalah aksi pemanas badan sebelum Malaysia bersaing di Piala AFF bermula 21 Disember ini.

Selain aksi dengan Kemboja, skuad negara juga dijadual bertemu Maldives pada Rabu depan yang akan dilangsungkan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras nanti.

Ujar Pan-gon lagi, dua perlawanan persahabatan itu dilihat penting bagi menilai pemahaman pemain tentang model permainan dan strategi sudah diterapkan dalam latihan selama seminggu lalu.

Malah, perkara kedua menjadi keutamaan jurulatih dari Korea Selatan itu ialah konsistensi, di mana beliau mahu pemain mengekalkan penguasaan dan dominasi ketika permainan.

"Ya, kesemua pemain sejak beberapa hari lalu tunjukkan peningkatan. Kami berikan pelbagai input dan maklumat mengenai model permainan terutama buat muka baharu.

"Memang banyak maklumat diberikan dan ia mungkin sedikit keletihan kerana input yang banyak dan perlu diterjemahkan dalam permainan. Tetapi saya lihat hari demi hari, peningkatan daripada pemain dan ia baik sekali.

"Apa yang penting adalah konsistensi di mana aksi baik dipamerkan ketika kelayakan Piala Asia lalu dan ia perlu diteruskan kali ini.. kita nak lihat bagaimana pemain memahami model permainan diterapkan sebaiknya," katanya yang berjaya membimbing pasukan menamatkan badi 42 tahun untuk layak ke Piala Asia yang akan diadakan di Qatar tahun depan.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menentang Kemboja di saingan Piala AFF tahun lalu di mana skuad kendalian Tan Cheng Hoe ketika itu menang 3-1 dalam aksi peringkat kumpulan.

Malah, dalam 10 pertemuan sejak 1995, skuad Harimau Malaya tidak pernah tewas kepada skuad Angkor Warriors itu dengan kemenangan terbesar dicatatkan pada 1995 menerusi keputusan 9-0.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 3:02 PM