Edinson Cavani dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan. FOTO EPA
Edinson Cavani dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan. FOTO EPA
Agensi

Doha: Edinson Cavani meluahkan kemarahan tatkala Uruguay tersingkir awal daripada saingan Piala Dunia dengan menumbuk monitor VAR ketika pasukannya meninggalkan padang sejurus berakhirnya aksi sepenuh masa.

Cavani dimasukkan pada minit ke-65 untuk menggantikan rakan di barisan penyerang, Luis Suarez namun gagal menyerlah untuk membantu pasukannya menambah gol ketiga dan salah seorang daripada pemain yang berkerumun kepada pengadil selepas perlawanan itu.

Namun kemuncak kemarahan Cavani menjadi monitor VAR sebagai sasarannya, tindakan penyerang Valencia itu menyebabkan monitor berkenaan terhempas ke lantai.

Kejadian berlaku ketika dia beredar ke bilik persalinan bersama rakan sepasukannya.

Tidak dapat dipastikan sama ada terdapat kerosakan pada monitor terbabit.

Malah tindakan Cavani mendapat reaksi pelbagai daripada pemerhati bola sepak selepas perlawanan itu dengan Ian Wright dan Joe Cole menyelar sikap penyerang veteran itu.

Difahamkan pemain Uruguay berang kerana tidak diberikan penalti selepas berlaku kekasaran antara Darwin Nunez dan Alidu Seidu serta beberapa tindakan pengadil mendapat bantahan pasukan itu.

Uruguay menewaskan Ghana 2-0 pada aksi terakhir peringkat kumpulan mereka namun gagal layak berdasarkan perbezaan jaringan selepas Korea Selatan menewaskan Portugal 2-1 pada aksi Kumpulan H.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 6:31 PM