DARREN (kiri) ketika menjalani latihan bersama rakan sepasukan. FOTO FB FAMNSTP
DARREN (kiri) ketika menjalani latihan bersama rakan sepasukan. FOTO FB FAMNSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selepas kempunan dan gagal membantu skuad Harimau Malaya dalam dua edisi Piala AFF sebelum ini, penyerang kacukan negara, Darren Lok mahu kejayaan lebih manis dapat dilakar di bawah kendalian Kim Pan-gon kali ini.

Darren, 31, pernah melalui detik pahit dalam saingan serantau itu apabila diketepikan pada saat akhir ekoran kecederaan pada kempen musim lalu yang menyaksikan jurulatih ketika itu, Tan Cheng Hoe menggugurkan namanya.

Malah dalam saingan 2016 di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee pula, tonggak kelahiran England-Malaysia itu gagal membantu Malaysia melepasi peringkat kumpulan.

Justeru, dia berazam untuk mempamerkan bisa sebenar seperti dilakukannya sepanjang musim ini dalam saingan Liga Malaysia bersama Petaling Jaya City (PJ City) yang menyaksikan Lok 'mengganas' dengan 10 gol.

"Saya sangat gembira dapat bersama pasukan untuk mengharungi kempen Piala AFF 2022 kali ini dan sudah tentu mahu memberikan yang terbaik buat negara.

"Jika diberi peluang, ini bakal jadi kempen Piala AFF kedua peribadi saya selepas 2016 apabila ketika itu pasukan tidak mencapai keputusan diharapkan.

"Malah, jika diserap dalam senarai akhir kali ini, ia dapat menebus kekecewaan saya selepas terpaksa menarik diri pada edisi 2020 kerana kecederaan.

"Apa yang penting, saya mahu kekal cergas bersama pasukan dan buktikan keupayaan pada dua aksi persahabatan sebelum alihkan tumpuan pada kejohanan utama nanti," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Selain Darren, Pan-gon turut memanggil beberapa penyerang baharu antaranya pemain naturalisasi, Sergio Aguero dari pasukan Sri Pahang dan Haqimi Azim Rosli dari pasukan KL City.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 5:57 PM