HADI (kanan) ketika menjalani latihan bersama skuad B-23 negara di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya, petang semalam. FOTO FB FAM
HADI (kanan) ketika menjalani latihan bersama skuad B-23 negara di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya, petang semalam. FOTO FB FAM
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Penyerang skuad bawah 23 tahun kebangsaan (B-23), Hadi Fayyadh Abdul Razak bukan hanya mahu memenuhi 'undangan' beraksi untuk negara, namun menyimpan hasrat membawa pulang pingat emas pada temasya Sukan Sea Kemboja, tahun depan.

Berikutan itu, Hadi berkata, persiapan awal perlu dilakukan bagi mencari keserasian antara pemain baharu dan lama walaupun temasya terbabit bermula pertengahan 2023.

Malah, dia menaruh keyakinan barisan pemain muda yang dimiliki negara mampu membentuk skuad mantap bagi merealisasikan impian untuk membawa pulang ibu segala pingat dari temasya dwitahunan itu.

"Kalau tanya saya, sudah pastinya saya nak pingat emas dan kalau tanya sesiapa pun kita nak dapatkan emas. Saya harap semua pemain dapat tanamkan azam yang tinggi.

"Paling penting adalah persiapan pasukan, kalau kita dapat lakukan persiapan dengan baik, Insya-Allah kita akan dapat satu keputusan yang baik di Sukan Sea nanti," katanya ketika sesi latihan skuad B-23, di sini, semalam.

Kali terakhir skuad negara memenangi pingat emas pada 2011 di Indonesia apabila menewaskan pasukan tuan rumah 4-3 menerusi penentuan penalti.

Pada Sukan Sea Vietnam pada Mei lalu, skuad bola sepak negara pulang dengan tangan kosong apabila tewas 3-4 menerusi penalti di tangan Indonesia di penentuan pingat gangsa.

Selain itu, Hadi yang dianggap antara pemain senior dalam skuad B-23 mengakui tetap perlu memberikan aksi 100 peratus dalam latihan dan aksi persahabatan untuk memikat hati ketua jurulatih, E Elavarasan.

"Semua itu (tempat dalam skuad) terletak di tangan jurulatih. Apa yang penting saya perlu berikan 100 peratus dalam latihan dan seandainya ada aksi persahabatan.

"Sebagai penyerang, saya perlu jaringkan gol dan sentiasa bagi komitmen baik sama ada di dalam dan luar padang bagi mendapat kepercayaan jurulatih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 5:55 PM