pemain Arab Saudi memberi saingan kepada penyerang Poland pada aksi Piala Dunia. FOTO AFP
pemain Arab Saudi memberi saingan kepada penyerang Poland pada aksi Piala Dunia. FOTO AFP
Reuters

Al Rayyan: Argentina, Mexico dan Poland mungkin menjadi pasukan pilihan dalam saingan Kumpulan C Piala Dunia berbanding Arab Saudi, tetapi selepas kemenangan mengejut ke atas skuad La Albiceleste, Arab Saudi dilihat memiliki peluang seimbang menjelang aksi menentang Mexico, awal pagi Khamis ini.

Dalam lima penyertaan terdahulu, Arab Saudi hanya layak sekali ke slot 16 terakhir ketika penampilan pertama kejohanan pada 1994.

Di Qatar, Poland mendahului Kumpulan C dengan empat mata, satu mengatasi Argentina dan Arab Saudi, sementara Mexico hanya memungut satu mata.

Jika mahu layak Arab Saudi harus menewaskan Mexico, tanpa menantikan keputusan antara Poland dan Argentina.

Keputusan seri bermakna mereka perlu memastikan Poland menewaskan Argentina, sementara kekalahan pula masih memberi peluang untuk mereka layak jika tewas dengan hanya satu gol sementara berharap Poland memenangi perlawanan dengan margin besar.

Skuad Arab Saudi menarik perhatian dalam dunia bola sepak selepas mereka menewaskan Argentina 2-1 pada aksi pembukaan peringkat kumpulan, dan hanya tewas 2-0 kepada Poland pada perlawanan kedua mereka.

"Tiada sesiapa dalam dunia yang menyangkakan kami mungkin dapat beraksi pada tahap ini. Ya dalam Arab Saudi kami mengenali pemain dengan sangat baik, tetapi mereka tidak dikenali dikalangan peminat di seluruh dunia. Kami masih mempunyai peluang." kata jurulatih Arab Saudi Herve Renard selepas aksi berdepan Poland.

Pada dua perlawanan awal, pasukan Arab Saudi mendapat sokongan ratusan penyokong negara Teluk itu yang berkunjung ke Qatar.

"Qatar adalah Arab Saudi dan Arab Saudi adalah Qatar. Ini adalah tanah kami, tempat duduk di stadium dijangka penuh," kata salah seorang penyokong, Ismail Hobeish.

Renard, 54, memberi bayangan pasukannya akan bermain pada perlawanan di Lusail menentang Mexico dengan semangat dan kesungguhan yang sama.

"Kami memerlukan penyokong untuk melakar sejarah. Saya mahu stadium menjadi lautan hijau sekali lagi, mungkin kami akan beraksi dengan jersi putih, tetapi ia tidak penting, kami mahu sokongan daripada peminat," katanya.

Ia bukan sesuatu yang mudah buat Arab Saudi, selepas Mexico juga mempunyai peluang untuk mara dalam kelompok 16 terakhir dan lapan kali berturut-turut dalam situasi mereka.

Mexico perlu menewaskan Arab Saudi sekurang-kurangnya dengan margin tiga gol manakala Poland tidak tewas kepada Argentina. Jika juara Copa Amerika menewaskan Poland ia bergantung kepada keputusan akhir.

Mexico tidak pernah tewas kepada Arab Saudi dalam lima pertembungan mereka sebelum ini dan menang dua kali dengan keputusan 5-0 dan 5-1 di Piala Konfederasi FIFA.

Namun skuad Mexico bergelut dengan prestasi dan pasukan itu tidak menjaringkan gol dalam dua perlawanan awal menentang Poland dan Argentina.

Mereka mungkin terdesak mencatat keputusan baik supaya ia tidak menjadi sejarah kali pertama pasukan itu gagal menjaringkan sebarang gol di Piala Dunia.

"Selagi terdapat peluang, kami harus kekal mencuba. Arab Saudi perlu menang perlawanan itu dan menjaringkan gol sama seperti kami." kata ketua jurulatih Mexico, Tata Martino.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 9:26 PM