AKSI barisan pemain Terengganu FC ketika bertemu KL City. FOTO Terengganu FC
AKSI barisan pemain Terengganu FC ketika bertemu KL City. FOTO Terengganu FC
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pertembungan separuh akhir Piala Malaysia 2022 antara Selangor FC dan Terengganu FC umpama bertemu buku dengan ruas, walaupun skuad Sang Penyu sudah memenangi kedua-dua pertemuan dalam saingan Liga Super musim ini.

Ketua Jurulatih Kuching City FC Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan, dua kemenangan dicatat naib juara Liga Super itu tidak lagi bermakna, kerana Piala Malaysia adalah pentas saingan berbeza di samping skuad Gergasi Merah, sudah melalui perubahan positif di bawah kendalian Tan Cheng Hoe.

Beliau berkata sejak Cheng Hoe, yang juga bekas pengendali skuad kebangsaan membimbing Selangor bermula hujung September lalu, prestasi dan corak permainan juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali itu menunjukkan kemajuan dalam setiap perlawanan.

"Sejak akhir ini kalau kita lihat Selangor telah bangkit dan semenjak Tan (Cheng Hoe) ambil alih (mutu permainan) mereka bertambah baik, menjadi sebuah pasukan yang mampu mencabar slot final. Perubahan ketara ialah dari segi corak permainan lebih segar.

"Mereka juga ada pilihan pemain yang ramai selepas semua kembali (bebas) daripada kecederaan. Bagi saya Terengganu tak boleh rasa selesa dengan dua kemenangan dalam liga, kerana perkara itu boleh menghukum mereka. Jadi saya anggap (aksi) ini 50-50," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Bagaimanapun, Irfan Bakti berkata Selangor akan menempuh perlawanan sukar kerana Terengganu ialah sebuah pasukan konsisten mencatat keputusan positif, selain memiliki kelebihan tersendiri yang mampu mengecewakan pihak lawan.

Beliau berkata kelebihan Terengganu ialah mempunyai rangkaian penyerang berbahaya seperti pemain sayap lincah skuad kebangsaan Muhammad Faisal Abdul Halim, kapten pasukan Kipre Tchetche dan penjaring terbanyak kempen ketika ini Kpah Sherman.

"Itu sedikit kelebihan yang ada pada Terengganu, tetapi pencapaian dua kemenangan itu bukan senang-senang boleh diulangi kalau mereka (pemain Terengganu) tidak bersungguh-sungguh," katanya.

Pada pertembungan separuh akhir Piala Malaysia, Selangor terlebih dahulu akan melayani kunjungan Terengganu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam esok, sebelum bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak bagi aksi timbal balik pada 21 November.

Dalam saingan Liga Super musim ini, Terengganu melakar kemenangan 2-0 dalam kedua-dua perlawanan menentang Selangor, selain menyingkirkan lawannya itu di peringkat separuh akhir Piala FA menerusi penentuan sepakan penalti dengan keputusan 4-2 selepas terikat 1-1, Ogos lalu.

Namun, Cheng Hoe belum tewas dalam lapan perlawanan sejak mengambil ali tugas sebagai ketua jurulatih Selangor, yang menyaksikan anak buahnya berjaya melakar enam kemenangan dan seri dua kali.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertembung di peringkat separuh akhir Piala Malaysia ialah pada edisi 2011, menyaksikan Terengganu di bawah kendalian Irfan Bakti menang dengan keputusan agregat 4-1. Abdul Manaf Mamat muncul wira apabila meledak tiga daripada empat gol Terengganu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 9:51 PM