PEMAIN AC Milan, Brahim Diaz (kiri) dikasari pemain Fiorentina, Rolando Mandragora. FOTO AP
PEMAIN AC Milan, Brahim Diaz (kiri) dikasari pemain Fiorentina, Rolando Mandragora. FOTO AP
AFP

Milan: AC Milan masih berada di landasan tepat untuk mempertahankan gelaran Serie A selepas kemenangan 2-1 ke atas Fiorentina memastikan mereka ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Napoli.

Selain itu, jaringan Moise Kean membantu Juventus menewaskan Lazio untuk melonjak ke tempat ketiga.

Milan yang dibimbing Stefano Pioli kelihatan akan jauh ketinggalan di belakang Napoli menjelang rehat Piala Dunia selepas Antonin Barak menyamakan kedudukan selepas jaringan Rafael Leao pada pertengahan babak pertama.

Tetapi, ketika masa permainan hampir tamat, pemain pertahanan Fiorentina, Milenkovic tertampan bola ke gawang sendiri selepas penjaga gol, Pietro Terracciano bertembung dengan Ante Rebic ketika mahu menumbuk bola di udara.

"Ia adalah perlawanan yang sukar bagi kami, tetapi perkara paling penting adalah menang sebelum rehat Piala Dunia," kata pertahanan Milan, Fikayo Tomori kepada DAZN.

Milan kini menduduki tempat kedua liga, dua mata di depan Juventus yang mengatasi Lazio 3-0 di Turin.

Kean yang juga penyerang Itali menghadiahkan kemenangan keenam berturut-turut buat Juventus dengan jaringan di setiap babak di Stadium Allianz, menjadikannya kini mengumpul lima gol dalam lima perlawanan.

Pada ketika Juventus tidak menurunkan Dusan Vlahovic yang cuba pulih daripada kecederaan untuk menyertai skuad Piala Dunia Serbia, Kean memainkan peranan besar yang menggembirakan jurulatih, Massimiliano Allegri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 12:12 PM