AKSI pemain Melaka United FC (jersi biru) ketika menentang Sarawak United, 15 Oktober lalu. FOTO FB MELAKA UNITED FC
AKSI pemain Melaka United FC (jersi biru) ketika menentang Sarawak United, 15 Oktober lalu. FOTO FB MELAKA UNITED FC
BERNAMA

Melaka: Melaka United FC akan mengumumkan hala tuju kelab itu dalam masa terdekat selepas tidak dapat bersaing pada Liga Super 2023 apabila rayuan untuk memohon lesen kebangsaan ditolak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Justin Lim berkata, situasi itu akan menjejaskan masa depan kelab bola sepak Melaka kerana tidak mempunyai punca pendapatan, jika tidak beraksi di Liga Malaysia.

Beliau berkata, ia akan memberi impak kepada masa depan pekerja dan pegawai pasukan.

"Apatah lagi buat masa ini, terdapat pelabur dan kesatria putih yang berminat untuk membeli Melaka United FC bagi menyelamatkan kelab bola sepak Melaka," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, rayuan Sarawak United FC dan Melaka United FC ditolak Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB), selaras dengan Artikel 3.4.4 yang termaktub di dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2022 dalam satu mesyuarat sebelum ini.

Stuart berkata, ia menyaksikan keputusan dilakukan oleh First Instance Body (FIB) pada 12 Oktober lalu kekal.

Sebelum ini, Pengerusi Pelesenan Kelab MFL FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, Melaka United gagal mengemukakan bukti pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai sehingga Jun dan Ogos tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2022 @ 9:51 PM