NUNEZ hanya menjaringkan dua gol daripada lapan perlawanan. FOTO Reuters
NUNEZ hanya menjaringkan dua gol daripada lapan perlawanan. FOTO Reuters
Reuters

London: Pengurus Liverpool, Juergen Klopp yakin penyerang, Darwin Nunez akan menemui sentuhan jaringan dan menggesa pemain antarabangsa Uruguay itu lebih tenang apabila menyudahkan peluang.

Nunez bermula perlahan dengan Liverpool apabila menjaringkan dua gol dan satu bantuan jaringan dalam lapan permainan sejak dibeli dari Benfica dengan harga AS$73.06 juta (RM338.82 juta).

Penyerang berusia 23 tahun itu turut digantung tiga perlawanan selepas dibuang padang kerana menanduk pemain lawan pada penampilan pertama di Anfield.

"Saya fikir, dia menyatakan kepada diri sendiri mengenai tekanan dihadapinya," kata Klopp.

"Dia perlu bertenang. Anda boleh lihat pergerakannya luar biasa dan apabila melihat sentuhan penyudahnya ketika latihan, anda akan berkata, 'Ya Tuhan'.

"Tetapi dalam perlawanan, dia akan terburu-buru. Dia perlu bertenang apabila mahu melakukan sentuhan penyudah, tetapi sebagai penyerang anda boleh merasakannya. Kemudian, ia akan bermula dari situ. Jadi, tidak perlu berubah, hanya perlu terus berusaha."

Liverpool kini menduduki tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tujuh perlawanan dan akan menentang pendahulu liga, Arsenal, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2022 @ 8:58 PM