ARIF Aiman (kiri) anggap gol yang dijaringkan meningkatkan lagi tahap keyakinannya. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
ARIF Aiman (kiri) anggap gol yang dijaringkan meningkatkan lagi tahap keyakinannya. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Dua gol yang dijaringkan Arif Aiman Hanapi bagi memastikan kemenangan bergaya Johor Darul Ta'zim (JDT) membelasah Negeri Sembilan FC 5-0 sekali gus membawa kejuaraan Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut cukup memberi pengertian mendalam buat dirinya.

Apa tidaknya, dua gol itu merungkai kemarau jaringan buat pemain muda berusia 20 tahun sejak bersama JDT tiga musim lalu tatkala sepanjang berada dalam kesebelasan utama dia belum pernah mencipta gol pada saingan liga apabila menyertai skuad Harimau Selatan pada musim 2020.

Arif Aiman membuat penampilan pertama pada 14 Mac 2020 ketika menentang Felda United dalam saingan Liga Super musim 2020 dan bermula pada detik itu dia yang juga graduan Akademi JDT terus diberi kepercayaan sepenuhnya oleh bekas jurulatih, Benjamin Mora untuk berada dalam kesebelesan utama.

"Walaupun saya pernah jaringkan gol ketika saingan Piala FA termasuk ketika final Piala FA tapi pada saingan Liga Super sejak saya menyertai JDT dua gol yang terhasil sememangnya mengujakan.

"Bayangkan ketika musim 2020 dan 2021 bersama JDT beraksi di pentas liga elit domestik, saya tidak pernah jaringkan gol sebaliknya kerap melakukan hantaran menghasilkan jaringan kepada rakan sepasukan.

"Lebih manis dua gol yang dijaringkan itu kami menang besar 5-0 ke atas Negeri Sembilan sekali gus memastikan kita juara liga, sudah tentu membanggakan.

"Ia juga memberi lebih keyakinan buat saya untuk berusaha menjaringkan gol tapi dalam bola sepak kita beraksi dalam satu pasukan dan sentiasa bekerjasama malah saya tidak kisah dapat jaringkan gol atau tidak yang penting setiap gerakan dan lorongan bola kepada rakan mampu diterjemahkan dengan jaringan oleh mereka," katanya.

Ditanya mengenai kejayaan kali ketiga kejuaraan liga buat pemain yang dianggap 'Wonder Kid' dalam skuad bimbingan Hector Bidoglio, pemain bertubuh kecil namun begitu licik di padang menegaskan status selaku juara liga amat bermakna buat dirinya yang menyifatkan tiada istilah titik noktah sebaliknya harus ada keinginan untuk berjaya bukan sahaja pada dirinya tapi buat pasukan JDT.

Jelasnya, di kala masih muda keinginan untuk berjaya sentiasa disemat di jiwanya dan bukan mudah untuk mengecapi kejayaan tanpa sokongan daripada rakan sepasukan terutama pemain senior yang kerap memberi nasihat dan tunjuk ajar kerana dia belum cukup sempurna sebagai pemain dan perlu berlatih dan mempelajari teknik permainan yang lebih ampuh.

Dia juga mengakui baki empat perlawanan sememangnya cukup getir walaupun JDT sudah sah bergelar juara liga kerana mahu memastikan rekod tanpa kalah sepanjang saingan liga pada musim ini kekal sehingga berakhir saingan dan ia pasti akan beri kepuasan bukan sahaja buat dirinya malah kesemua rakan sepasukan.

"Kami perlu harungi empat lagi perlawanan yang saya anggap begitu sukar apabila berdepan Kedah pada dua perlawanan timbal balik selain menentang Sri Pahang FC dan aksi terakhir menentang Sabah FC dan pasukan lawan pasti mengintai peluang untuk memecah rekod tanpa kalah JDT.

"Apapun, sepanjang tiga musim saya berterima kasih kepada TMJ (Tunku Mahkota Johor) yang nampak bakat saya ketika bersama JDT II untuk diserapkan ke skuad senior dan saya akan beri yang terbaik malah mahu terus membantu JDT mengecapi kejayaan merangkul banyak lagi piala," kata Arif Aiman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 11:20 AM