BEKKING mempunyai pengalaman cukup luas. FOTO Agensi
BEKKING mempunyai pengalaman cukup luas. FOTO Agensi
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selangor FC nyata tidak main-main dan cukup serius untuk menggegar arena bola sepak tempatan apabila melantik Pengarah Teknikal yang baharu, Dennis Bekking dalam persiapan kelab menjelang musim hadapan.

Pelantikan bekas Pengarah Akademi kelab Liga Belanda, FC Twente itu bukan calang-calang di mana beliau juga amat berpengalaman sebagai Pengarah Sukan di kelab Go Ahead Eagles yang bertanggungjawab ke atas keseluruhan persediaan teknikal kelab dari pasukan utama sehingga ke akademi.

Selain itu, Bekking juga amat sinonim dengan suasana bola sepak tempatan kerana pernah dilantik sebagai Pengarah di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) pada 2019 lalu.

Bekking mengakui teruja untuk memulakan peranan baharunya di Selangor FC selepas ini.

"Selangor FC sudah berjaya mengenal pasti dan merekrut ramai bakat muda sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan ia tidak berhenti di sini.

"Dengan kemasukan prospek masa depan yang muda ini ia menjadi satu keperluan untuk kita menyediakan laluan pembangunan belia yang betul bermula dari B-18 hingga ke pasukan utama.

"Saya bersedia untuk meningkatkan lagi tahap profesionalisme buat pemain muda ini bersama-sama jurulatih dan kakitangan di Selangor FC," katanya selepas pengumuman yang dibuat Selangor FC di laman sosial kelab itu hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon percaya pengalaman luas Bekking mampu memperkasakan kelab itu terutama diperingkat pembangunan.

"Pengalaman luas beliau di Belanda sebagai Pengarah Sukan dan Pengarah Teknikal serta pemahaman yang baik tentang bola sepak Malaysia sejak beliau menjadi Pengarah AMD akan membantu beliau memperkenalkan dan mengintegrasikan kaedah bola sepak moden kepada jurulatih kami dan seterusnya membangunkan sistem pembangunan bakat di Selangor FC.

"Semangat, komitmen dan personaliti beliau pasti akan membawa perubahan positif dalam mewujudkan budaya dan persekitaran berprestasi tinggi di kalangan pasukan pembangunan Selangor FC," Johan.

Bekas Pengarah Akademi FC Twente ini akan bertanggungjawab ke atas hal-hal teknikal yang membabitkan pasukan pembangunan termasuk Selangor B-23, Selangor B-20, Selangor B-18 dan pasukan bola sepak Sekolah Sukan Negeri Selangor.

Selain itu, beliau juga akan bertanggungjawab untuk membangunkan falsafah bola sepak kelab, mengukuhkan jabatan sains sukan, menyelia pendidikan jurulatih serta memberi tumpuan kepada pengambilan dan pembangunan bakat muda.

Sebelum ini, Selangor turut membuat kejutan apabila mengikat bekas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sekaligus sedia mencabar pesaing dalam liga tempatan musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 5:31 PM