HAMIDIN (tengah) menyempurnakan simbolik pecah tanah Seriemas Sportsplex di Kota Seriemas, di sini, hari ini. FOTO Ahmad Hasbi
HAMIDIN (tengah) menyempurnakan simbolik pecah tanah Seriemas Sportsplex di Kota Seriemas, di sini, hari ini. FOTO Ahmad Hasbi
Ahmad Hasbi

Nilai: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal menerima manfaat venue perlawanan bertaraf antarabangsa yang sedang dibina di Kota Seri Emas, di sini, bagi kegunaan perlawanan persahabatan pasukan kebangsaan.

Menerusi perjanjian dengan PNB Development dan RS Greenmaster (M) Sdn Bhd, padang berumput tiruan yang diiktiraf Fifa Quality Pro itu turut bakal dijadikan fasiliti latihan pasukan belia kebangsaan, latihan teknikal kejurulatihan serta kursus pengadilan.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya menyambut baik kerjasama itu kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada pasukan kebangsaan, malah merancakkan lagi sukan bola sepak di lokaliti berkenaan.

"Sudah tentu dengan penambahan padang bola dan futsal ini mampu menyemarakkan lagi sukan bola sepak di kawasan ini. FAM mengucapkan terima kasih kepada PNB Development dan RS Greener.

"Sudah tentu perjanjian secara percuma ini (penggunaan padang) kepada FAM untuk digunakan bagi pasukan bawah 17 dan 20 serta kursus pengadilan boleh dimanfaatkan di sini," katanya ketika sidang media, di sini, hari ini.

Menurut Aku Janji yang dipersetujui, FAM dan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFA) ditawarkan pengunaan kemudahan Seriemas Sportsplex secara percuma dengan syarat tertentu selama dua tahun sehingga 24 Disember 2024.

Mengulas mengenai kualiti padang berkenaan, Hamidin berkata, rumput tiruan yang ada di fasiliti berkenaan adalah salah satu daripada yang terbaik di Malaysia.

"Saya difahamkan rumput hibrid tahan lama akan digunakan di padang bola sepak ini yang diiktiraf Fifa dan ia elok digunakan untuk pasukan muda nasional untuk berlatih," katanya.

Perjanjian itu turut disambut baik Setiausaha Kehormat NSFA, Abdul Malek Hassan yang akan menyerahkan kepada Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC) untuk mengadakan perbincangan lanjut mengenai latihan pasukan membabitkan negeri itu.

"Tahun depan kami mempunyai beberapa pasukan yang akan bertanding termasuk di Liga Super. Ia terpulang kepada pengarah teknikal NSFC sama ada akan memanfaatkan padang ini, namun kami mengucapkan terima kasih atas tawaran ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Development Sdn Bhd, Megat Rozlan Abdul Rahman berkata, kompleks sukan itu bakal mempunyai dua padang bola dan tiga padang futsal.

"Padang bola sepak menggunakan rumput tiruan yang diiktiraf Fifa Quality Pro kerana cirinya yang sangat lembut, tahan lama dan rintangan haus. Ia sesuai dengan cuaca di negara ini.

"Lokasinya berdekatan dengan Lembah Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Ia bakal siap menjelang suku pertama 2023," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 4:58 PM