REAKSI kecewa barisan pemain United selepas tewas kepada Sociedad. FOTO AFP
REAKSI kecewa barisan pemain United selepas tewas kepada Sociedad. FOTO AFP
AFP

London: Manchester United memberi penghormatan kepada Ratu Elizabeth II yang mangkat pada Khamis sebelum mengalami kekalahan 0-1 ketika menentang Real Sociedad dalam saingan Liga Europa.

Pemain United, West Ham dan Arsenal iaitu pasukan Liga Perdana yang beraksi dalam kejohanan peringkat kedua dan ketiga Eropah, semuanya memakai lilitan lengan hitam selepas Ratu mereka meninggal dunia pada usia 96 tahun.

Suasana suram menyelubungi Old Trafford dan Stadium London, dengan United dan West Ham kedua-duanya bertafakur selama seminit sebelum sepak mula.

Di Old Trafford, penyokong United kelihatan menangis di tempat duduk manakala penyokong Sociedad turut memberikan penghormatan.

"Manchester United berkongsi kesedihan seluruh negara berikutan pengumuman dari Istana Buckingham mengenai kemangkatan Duli Yang Maha Mulia, Ratu,"

"Kelab mengiktiraf sumbangan besar beliau kepada kehidupan awam, termasuk sukan di United Kingdom, seluruh Komanwel dan di seluruh dunia," kata United dalam satu kenyataan.

Sociedad meraih kemenangan pada minit ke-59 apabila pemain pertahanan United, Lisandro Martinez dihukum kerana bola terkena tangannya.

Brais Mendez menyempurnakan sepakan penalti itu menewaskan David De Gea.

Sementara itu, bekas pengurus United, Chelsea dan Tottenham, Jose Mourinho memberikan penghormatan kepada Ratu selepas kekalahan 1-2 Roma kepada pasukan Bulgaria, Ludogorets dalam saingan Liga Europa.

"Saya bersimpati. Saya sudah tinggal di England selama bertahun-tahun, keluarga saya juga ada di sana. Saya fikir tidak ada sesiapa yang tidak menghargai wanita hebat ini," kata Mourinho kepada Sky Sport Italy.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2022 @ 7:28 AM