NUNEZ di bawa keluar Klopp ketika perlawanan menentang Everton. -FOTO Reuters
NUNEZ di bawa keluar Klopp ketika perlawanan menentang Everton. -FOTO Reuters
Agensi

London: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menolak sebarang tanggapan buruk bahawa dia kini bimbang akan prestasi Darwin Nunez.

Penyerang Uruguay itu menyempurnakan enam hantaran ketika mereka seri tanpa jaringan bertemu Everton Sabtu lalu dan hanya tiga percubaannya tepat ke sasaran ketika pemain itu terus cuba mencari tempat di bahagian serangan Liverpool.

Nunez menyertai Liverpool dengan nilai £64 juta (RM422.78 juta) dari Benfica, selepas meledak 34 gol untuk Benfica dan pada aksi pramusim dia dibandingkan dengan pemain baru Manchester City, Erling Haaland terutama selepas menjaringkan gol ketika perlawanan Perisai Komuniti di mana Liverpool menewaskan City 3-1.

Pemain Norway itu bagaimanapun sudah menjaringkan 10 gol dalam hanya enam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan berada di landasan terbaik untuk merampas Kasut Emas daripada genggaman Mohamed Salah.

Nunez menjaringkan gol pada penampilan sulungnya ketika dimasukkan dari bangku simpanan pada perlawanan menentang Fulham kemudiannya di buang padang ketika perlawanan menentang Crystal Palace.

Sekembalinya ke Goodison Park dia gagal menemui sentuhan jaringan.

Namun Klopp menegaskan dia tidak bimbang tentang pemain berusia 23 tahun itu dan mengatakan bahawa dia tahu Nunez akan mengambil peluang dalam perlawanan akan datang apabila dia betul-betul menyesuaikan diri dengan pasukan.

Pengendali Jerman itu berkata: "Tidak. Dia tidak mempunyai masalah integrasi. Kami bermain sepanjang masa dan itu bermakna kami tidak boleh berlatih secara berterusan. Dalam sesi yang dilalui dia kelihatan sangat baik, tetapi dia perlu bekerjasama.

"Ia satu yang normal. Saya tahu dia mempunyai ada peluang apabila melihat gol namun (Jordan) Pickford berada di sana untuk menyelamatkannya.

"Dia akan menjaringkan gol pada saat-saat seperti ini pada masa hadapan. Itu jelas.

"Dia tidak menjaringkan gol. Tapi itu bukan satu kebimbangan. Ia hanya satu situasi.

"Semuanya baik pada masa ini dalam perspektif itu. Kami bertarung, tidak selalu bermain dengan sangat baik tetapi kami mempunyai peluang terbaik dan tidak menggunakannya.

"Kami boleh menang tapi kami juga boleh kalah, jadi kami ambil dan teruskan."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2022 @ 10:07 AM