BORIS (kanan) tak dapat pulang sertai Sarawak United sejak bulan lalu. FOTO Boris Kok
BORIS (kanan) tak dapat pulang sertai Sarawak United sejak bulan lalu. FOTO Boris Kok
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bukan saja dihalau daripada rumah sewa, bahkan ada juga pemain Sarawak United yang terkandas di Perancis kerana tidak dapat membeli tiket penerbangan pulang ke tanah air.

Kisah duka itu dikongsikan tonggak import, Boris Kok di laman sosial apabila dia belum dapat pulang menyertai Sarawak United sejak bulan lalu.

Kok diberi cuti selama dua minggu untuk menyambut kelahiran cahaya matanya di Perancis terkandas selepas pihak pasukan gagal menguruskan tiket penerbangan ke Malaysia.

Malah, lebih memburukkan keadaan, dia pulang ke Perancis tanpa duit poket kerana tidak menerima gaji selama tiga bulan.

"Hello semua. Saya mahu meminta maaf kepada anda (peminat bola sepak Sarawak United) kerana sejak beberapa minggu lalu tiada perkhabaran daripada saya. Sekarang semua orang sudah tahu (isu tunggakan gaji) melalui media.

"Mengenai diri saya situasi berlainan kerana pihak kelab memberikan cuti dua minggu untuk kembali ke Perancis menyambut kelahiran bayi lelaki. Sepanjang di Perancis dan tanpa gaji tiga bulan, saya sebenarnya boleh menamatkan kontrak dengan kelab dan kembali ke Kemboja kerana saya hanya pemain pinjaman.

"Tetapi pihak pengurusan kelab berbincang dengan saya (untuk kekal) dan saya memberi peluang kepada kelab kerana perasaaan hormat kepada penyokong. Sejak perlawanan menentang Kedah (pada 19 Julai lalu), mereka memaklumkan saya tiket penerbangan akan dibayar untuk membenarkan saya beraksi dalam perlawanan menentang JDT, Penang FC, Terengganu FC dan PJ City FC.

"Malang sekali mereka sebenarnya tidak melakukan apa-apa dan berkata saya boleh terus kekal berada di Perancis sehingga situasi diselesaikan," katanya di Facebook miliknya.

Pada Rabu lalu, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mengesahkan menerima laporan isu tunggakan gaji yang berlarutan hampir empat bulan membabitkan beberapa pemain pasukan Sarawak United FC.

PFAM menerusi kenyataan memaklumkan berdasarkan laporan itu, pihaknya mengeluarkan notis kepada pasukan terbabit untuk tuntutan tunggakan pemain terbabit yang membuat aduan pada 16 Jun lalu.

Menurut PFAM, beberapa pemain Sarawak United turut diminta keluar daripada rumah kerana gagal melunaskan sewa.

Begitupun, Arena Metro yang menghubungi Presiden kelab, Datuk Posa Majais kelmarin, mengakui pihaknya menyelesaikan semua tunggakan gaji selewat-lewatnya minggu depan.

Menurut Kok, dia berharap Posa menunaikan janjinya menyelesaikan semua tunggakan.

"Sekarang Presiden berjanji beliau menyelesaikan masalah menyedihkan ini di dalam tempoh dua minggu. Kami harap beliau menghormati kata-kata dari mulutnya demi masa depan pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2022 @ 6:06 PM