PENYERANG Liverpool, Darwin Nunez meninggalkan padang selepas dilayangkan kad merah. FOTO EPA
PENYERANG Liverpool, Darwin Nunez meninggalkan padang selepas dilayangkan kad merah. FOTO EPA
Agensi

London: Penyerang Liverpool, Darwin Nunez memohon maaf selepas dia dibuang padang ketika seri 1-1 dengan Crystal Palace pada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield, semalam.

Pemain yang ditandatangani dari Benfica itu dilayangkan kad merah kerana menanduk muka pemain pertahanan Palace, Joachim Andersen pada minit ke-57.

Kad merah itu bermakna Nunez akan digantung tiga perlawanan dan terlepas perlawanan menentang musuh ketat, Manchester United, minggu depan.

The Reds mampu mencatat keputusan seri selepas Nunez dibuang padang menerusi jaringan menarik Luis Diaz.

Penyerang berusia 23 tahun itu menggunakan media sosial untuk menyampaikan pesanan kepada penyokong mengenai kad merah itu.

"Saya sedar dengan kelakuan buruk saya," tulisnya di Twitter.

"Saya ke sini untuk belajar dan ia tidak akan berlaku lagi."

Nunez akan terlepas tiga perlawanan EPL iaitu menentang Manchester United, Bournemouth dan Newcastle United.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui Nunez membuat kesilapan di Anfield, tetapi percaya pemain itu akan belajar daripada kesilapannya.

"Saya mahu melihat keadaan itu terlebih dulu," katanya kepada media.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku dan nampak Andersen terbaring manakala Darwin sedang beredar. Itu yang saya nampak. Jadi, saya tanya pegawai saya dan nampak, ia sudah pasti kad merah kerana reaksi yang salah.

"Andersen mahukan begitu dan dia mendapatnya, tetapi Darwin membuat kesilapan. Berlaku provokasi kecil di sini dan sana, sudah tentu ia reaksi salah dan saya tidak boleh menafikannya.

"Dia akan belajar daripada kejadian itu. Malangnya, dia ada beberapa perlawanan untuk mempelajarinya dan itu tidak baik untuk kami, tetapi itulah yang berlaku."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 8:55 AM