BOBIE Farid Shamsuddin. -FOTO NSTP
BOBIE Farid Shamsuddin. -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tiada tempat buat samseng bola sepak!

Itu penegasan Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin yang menegaskan tidak akan bertolak ansur dengan penyokong yang mencetuskan aktiviti ganas dan menghasut.

Jelasnya, Perak FC akan meningkatkan tahap keselamatan bagi memastikan insiden keganasan dapat dielakkan terutama apabila beraksi di Ipoh.

"Bagi kami mereka tidak mempunyai tempat di stadium. Perak FC akan bertindak segera bertindak ke atas sebarang aduan atau laporan rasmi terhadap tingkah laku penyokong kami dan akan mengambil tindakan paling tegas untuk melarang pengaruh sedemikian daripada disebarkan.

"Perak FC juga akan memberi jaminan kepada semua penyokong, pasukan bola sepak serta MFL dan FAM bahawa kami akan memastikan bahawa tahap keselamatan akan sentiasa berada pada tahap optimum pada perlawanan kami di Ipoh untuk meminimumkan keganasan," katanya.

Terdahulu, aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, Rabu lalu, menyaksikan kekecohan berlaku apabila penyokong Kelantan dan Perak bertelagah dengan insiden balingan objek mencemari perlawanan yang berkesudahan Perak menang 2-1.

Malah, bas pasukan Perak turut didakwa dibaling objek dipercayai batu oleh penyokong di luar stadium yang menyebabkan berlaku kerosakan.

Ujarnya lagi, beliau akan bekerjasama dengan pasukan lain untuk memastikan keganasan bola sepak dapat diatasi.

"Dalam memastikan jangka hayat, kelestarian dan juga peningkatan mutu Liga Bola Sepak Malaysia, ia menjadi kewajipan kepada setiap kelab untuk menyediakan persekitaran yang selamat untuk penyokong yang menghadiri perlawanan.

"Perak FC komited dengan agenda ini dan akan bekerjasama rapat dengan pasukan lain untuk memastikan keganasan penonton akan dihapuskan secara beransur-ansur daripada landskap kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 2:48 PM