PENGENDALI sementara Selangor FC, Nidzam Jamil. -FOTO NSTP
PENGENDALI sementara Selangor FC, Nidzam Jamil. -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali sementara Selangor FC, Mohd Nidzam Jamil mengakui bukan mudah baginya mengambil alih tugas daripada Michael Feichteinbeiner terutama di pertengahan musim yang memerlukan beberapa perubahan dalam pasukan.

Begitupun, bekas pemain Red Giants itu enggan menjadikan ia satu halangan sebaliknya bersedia memikul tanggungjawab itu dalam misi meletakkan semula pasukan di landasan betul.

Katanya, keutamaan ketika ini adalah mendapatkan kepercayaan barisan pemain kerana sedar bukan mudah berdepan dengan situasi seperti ini, dan mahu memastikan mereka dapat mengatasi apa jua cabaran untuk terus berjuang.

"Apabila kelab memilih saya untuk menyambung tugas ini, saya berlapang dada sebab ini adalah Selangor dan mesti tiada apa yang lebih baik daripada hanya memikirkan kelab ini sendiri.

"Saya percaya daripada sudut emosi sekarang adalah sangat penting dan saya suka dengan kepercayaan yang diberi oleh pemain dengan situasi sekarang.

"Kami dekat sini percaya antara satu sama lain dengan proses yang sedang berlaku sebab bertukar jurulatih bukan senang dan bukan senang untuk saya juga sebab Michael (Michael Feichteinbeiner) adalah bos saya.

"Tetapi kita dalam satu kapal yang besar kena teruskan pelayaran ini sampai ke destinasi dan lihat sama ada berjaya atau tidak, dan kami lakukan ini untuk penyokong, sepenuhnya untuk penyokong Selangor," katanya.

Terdahulu, aksi hambar Selangor dalam kempen Liga Super dan Piala FA menyaksikan kedudukan Feichteinbeiner selaku pengendali pasukan dikaji semula dan beliau akhirnya 'diturunkan pangkat' ke bahagian pembangunan.

Sebaliknya, Selangor melantik Nidzam selaku pengendali sementara sebelum jurulatih baharu dilantik dengan difahamkan beberapa nama dikaitkan antaranya Tan Cheng Hoe.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 12:54 PM