KAPTEN Sri Pahang FC, Muslim kemungkinan tidak beraksi menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat, malam esok. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
KAPTEN Sri Pahang FC, Muslim kemungkinan tidak beraksi menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat, malam esok. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Masalah kecederaan membelenggu Sri Pahang FC apabila berdepan Melaka United FC di Stadium Hang Jebat, malam esok.

Pengendali skuad Tok Gajah, Datuk Dollah Salleh berkata, kecederaan itu membabitkan dua pemain pertahanan iaitu Muslim Ahmad dan Nick Swirad.

"Apa yang boleh saya katakan ialah kecederaan yang dialami Muslim yang juga kapten pasukan dalam keadaan 50-50 manakala Swirad agak serius.

"Dua pemain pertahanan ini juga tidak menjalani latihan bersama pemain lain semalam, disebabkan masih lagi belum pulih.

"Bagaimanapun, Muslim dan Swirad akan tetap dibawa ke Melaka dan diharapkan segala perancangan tidak terjejas sekiranya mereka tidak bermain," katanya.

Muslim dan Swirad mengalami kecederaan ketika berdepan PJ City FC Selasa lalu, yang menyaksikan Sri Pahang mencatat kemenangan 3-0 ke atas lawan.

Prestasi dan permainan konsisten dipersembahkan skuad Tok Gajah yang mencatat tiga kemenangan mahu diteruskan apabila berdepan Melaka United, malam esok.

Justeru, Dollah yang juga bekas pemain kebangsaan mahu anak buahnya mengekalkan disiplin dan komitmen sepanjang 90 minit perlawanan.

Biarpun pasukan tuan rumah berada di kedudukan kesembilan berbanding Sri Pahang di tempat kelima, beliau mengharapkan misi kemenangan dapat diteruskan.

"Tiga kemenangan berturut-turut yang diperoleh diharap meningkatkan motivasi kepada semua pemain untuk terus melonjakkan kedudukan pasukan dalam saingan Liga Super musim ini.

"Bukan sahaja kekentalan bahagian pertahanan, malah kerjasama di bahagian tengah dan serangan akan membantu memberi tekanan kepada lawan.

"Saya juga mahu Abdul Malik Mat Ariff dan Steven Rodriguez meneruskan sentuhan jaringan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 1:19 PM