REAKSI Ronaldo di bangku simpanan ketika United menentang Brighton.
REAKSI Ronaldo di bangku simpanan ketika United menentang Brighton.
Agensi

London: Pemain Manchester United dilaporkan semakin bosan dan muak dengan sikap ditunjukkan Cristiano Ronaldo.

Beberapa pemain lebih suka dia meninggalkan Old Trafford daripada membiarkan masalah berterusan di antara bintang Portugal itu dengan kelab.

Ramai yang mula hilang sabar dan tidak puas hati dengan sikap dan pendirian Ronaldo.

Sumber United berkata: "Dia sudah mula menimbulkan kemarahan dalam kalangan ramai pemain sekarang.

"Dia mempunyai klik dalam kem United tetapi ramai yang mulai bosan dengan cara dia menangani masa depannya."

Ronaldo mahu meninggalkan Old Trafford hanya selepas 12 bulan kepulangannya tetapi kelab enggan menjualnya.

Pemain itu percaya dia mempunyai perjanjian tak rasmi yang membenarkannya meninggalkan kelab jika mereka gagal layak ke Liga Juara-Juara.

Ejennya, Jorge Mendes menggesa Ketua Eksekutif, Richard Arnold meletakkan harga untuk Ronaldo namun pemilik kelab Glazers tetap enggan melepaskannya sekaligus menyebabkan Ronaldo 'memberontak'.

Dia tidak turut serta dalam aksi jelajah pra musim dengan alasan keluarga. Dia beraksi pada babak pertama ketika menentang Rayo Vallecano dalam perlawanan persahabatan tetapi meninggalkan padang sebelum tamat perlawanan.

Pengurus baharu, Erik Ten Hag membidas tindakan Ronaldo yang dianggap melampau dan dia tersisih dalam senarai kesebelasan ketika menentang Brighton dalam aksi Liga Perdana Inggeris, Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 12:37 PM