THIAGO (tiga dari kiri) menahan kesakitan ketika menentang Fulham.
THIAGO (tiga dari kiri) menahan kesakitan ketika menentang Fulham.
Agensi

London: Pemain tengah Liverpool, Thiago Alcantara tidak dapat beraksi sehingga enam minggu akibat kecederaan, menurut sumber kepada ESPN.

Pemain antarabangsa Sepanyol itu terpaksa dikeluarkan pada awal babak kedua selepas mengalami kecederaan hamstring ketika seri 2-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Fulham Sabtu lalu.

Kecederaan Thiago menambahkan lagi keresahan Liverpool yang masih lagi tidak dapat menggunakan khidmat pemain tengah Alex Oxlade-Chamberlain dan Curtis Jones.

"Ini bukan situasi yang bagus. Saya tak suka sama sekali. Kami perlu lihat apa reaksi kami selepas ini tetapi pastinya tidak panik," kata jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp semalam.

Jendela perpindahan tamat 1 September tetapi Klopp menegaskan Liverpool tidak akan terburu-buru menandatangani pemain baharu.

"Perpindahan perlu dilakukan dengan bijak dan untuk jangka panjang," katanya. "Kami ada lapan pemain tengah dan mencukupi. Ia bukan kerana kami kurang pemain di posisi ini tetapi kerana ada antara mereka mengalami kecederaan."

Kecederaan turut menyebabkan Thiago hanya tampil 24 aksi liga musim lalu. Dia yang berusia 31 tahun terlepas beberapa perlawanan, antaranya aksi 'derby' menentang Everton di Goodison Park pada 3 September.

Thiago dijangka kembali beraksi menentang Chelsea dalam saingan EPL pada 18 September.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 11:04 AM