VIETNAM menewaskan skuad negara 2-1. FOTO VFF
VIETNAM menewaskan skuad negara 2-1. FOTO VFF
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Hilang fokus di hujung permainan menyaksikan hasrat skuad bawah 19 (B-19) tahun negara meraih sekurang-kurangnya satu mata musnah apabila tewas 1-2 kepada Vietnam dalam Kejohanan Bolasepak Thanh Nien Antarabangsa B-19 di Stadium Binh Duong di Vietnam, hari ini.

Malaysia yang hadir di saingan jemputan itu dengan membawa 'skuad kedua' dengan pasukan utama yang memenangi Kejuaraan AFF B-19 pada bulan lalu tidak dibawa nyata beraksi cukup baik biarpun berdepan pasukan utama lawan.

Malah, pengendali negara iaitu Hassan Sazali Waras menjadikan saingan itu sebagai medan untuk pemain yang jarang beraksi bagi menunjukkan kebolehan sebelum beliau menyenaraikan skuad terbaik ke Kelayakan Piala Asia B-20 di Mongolia bulan depan.

Dalam aksi itu, pasukan negara tidak menunggu lama apabila mendahului seawal minit kelima selepas Nazrin Nasir melepaskan rembatan leret yang tepat menuju ke sasaran.

Begitupun kelebihan itu berjaya dipadamkan Nguyen duc Anh di minit 28.

Gol itu berpunca daripada sepakan percuma Nguyen Quoc Viet yang terkena palang gol sebelum ia melantun dan pantas disambar Duc Anh untuk menyamakan kedudukan.

Bersambung babak masa kedua, tuan rumah melipat gandakan asakan ke kubu negara namun barisan pertahanan tenang mengagalkan gerakan Vietnam.

Namun menuju minit akhir permainan, Vietnam dihadiahkan sepakan penalti dan ketua pasukannya, Khuat van Khang tenang menyempurnakan sepakan untuk menewaskan Syahmi Adib di gawang gol.

Selepas ini, skuad Harimau Muda akan turun bertemu Myanmar dalam aksi terakhir Selasa ini.

Saingan yang menggunakan format liga sepusingan itu menetapkan dua pasukan mengumpul mata tertinggi akan mara ke final yang dijadual berlangsung Khamis ini.

Berdasarkan perkiraan matematik, Malaysia harus menang ke atas Myanmar sambil mengharapkan Thailand tewas di tangan Vietnam, untuk mengintai peluang ke final sebagai naib juara.

Ketika ini, skuad negara hanya mengumpul satu mata selepas mengikat Thailand dalam aksi pertama Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2022 @ 10:11 PM