KALANG Tie pernah beraksi bersama TFC. FOTO KCFC
KALANG Tie pernah beraksi bersama TFC. FOTO KCFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kapten Kuching City FC (KCFC), Joseph Kalang Tie akui skuadnya bakal berdepan laluan getir bertemu Terengganu FC (TFC) pada aksi suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Sabtu ini.

Pemain berpengalaman berusia 35 tahun kelahiran Sarawak itu menjelaskan, selain beraksi di depan ribuan penyokong setia tuan rumah, skuad Penyu yang beraksi dalam saingan Liga Super mempunyai barisan pemain yang lengkap.

Bagaimanapun bekas pemain tengah Terengganu itu berazam melakar kejutan ke atas anak buah Nafuzi Zain walaupun sedar bukan mudah untuk menundukkan lawan yang kebal mengekalkan rekod tanpa kalah di tempat sendiri musim ini.

Namun pemain yang sudah tiga musim bersama KCFC itu percaya ramuan dan strategi direncanakan jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim mampu menjadi 'senjata' buat dia dan rakan sepasukan memburu kemenangan.

"Atas kertas sememangnya tugas sukar menanti kami kerana skuad lawan dilihat mempunyai beberapa kelebihan terutama beraksi di tempat sendiri dengan sokongan padu peminat setia mereka selain mempunyai barisan pemain yang serba lengkap dan berkualiti.

"Bagaimanapun dalam bola sepak apa-apapun boleh berlaku, selagi kita percaya antara satu sama lain serta ditambah kerja keras berpasukan, pasti kecerian akan hadir buat pasukan.

"Jadi dengan perancangan jurulatih berpengalaman dan ditambah semangat menggunung, kami berazam untuk melakar kejutan bagi memastikan slot ke peringkat separuh akhir menjadi milik kami," katanya ketika dihubungi.

Skuad The Cats yang kini menghuni di tangga keempat Liga Perdana dijangka bakal mempertaruhkan penyerang utamanya dari Liberia, Abu Kamara untuk merobek kubu skuad Penyu manakala benteng terakhir bakal menjadi milik bekas penjaga gol Terengganu, Wan Mohd Azraie Wan Teh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 4:42 PM